LELAKI dipercayai mencuri televisyen Masjid Al-Qudus Mukim Paya Bemban diikat pada tiang.
LELAKI dipercayai mencuri televisyen Masjid Al-Qudus Mukim Paya Bemban diikat pada tiang.
HM Digital

Kota Bharu: Mencuri punya pasal, lelaki berusia 22 tahun ditangkap penduduk kampung dan tangannya diikat pada tiang di hadapan Masjid Al-Qudus Mukim Paya Bemban, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari, suspek diikat menggunakan rantai besi selama kira-kira 30 minit sebelum ditahan polis.

Dia sebelum itu dicam penduduk kampung selepas disyaki mencuri televisyen skrin leper milik masjid berkenaan.

Imam Tua masjid itu, Ahmad Tarmizi Abdul Rauf berkata, dia hanya mengetahui kejadian berkenaan ketika berada di rumah selepas dihubungi penduduk kampung.

Sebaik menerima maklumat, dia bergegas ke masjid dan terkejut melihat lelaki itu diikat di tiang masjid berkenaan.

“Saya terus hubungi polis dan pada masa sama minta penduduk tidak mencederakannya.

“Saya dimaklumkan, orang kampung berbuat demikian (ikat pada tiang) sebagai pengajaran kepada lelaki itu.

“Kira-kira jam 1 tengah hari, polis datang dan terus menahannya,” katanya.

Menurutnya, pada 26 Oktober lalu, lelaki itu memecah masuk masjid dengan mengumpil pintu hadapan sebelum mencuri televisyen bersaiz 48 inci di ruang solat wanita.

Kegiatannya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) masjid dan sejak itu menjadi buruan ahli kariah masjid.

“Selepas itu, saya membuat laporan polis dan kami sama-sama meneliti rakaman CCTV. Penduduk mengenali lelaki itu sebagai penduduk kawasan ini.

“Penduduk kampung beberapa kali ke rumahnya, namun dia menyembunyikan diri dan hanya pagi ini (semalam) dia ditahan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

Beliau berkata, suspek direman hari ini (4 November) mengikut Seksyen 451 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2017 @ 9:56 AM