Lelaki yang disyaki mencuri televisyen diikat di tiang masjid. FOTO ihsan pembaca
Lelaki yang disyaki mencuri televisyen diikat di tiang masjid. FOTO ihsan pembaca
Muhamaad Razis Ismail


SELEPAS lebih seminggu dicari penduduk kerana disyaki mencuri televisyen Masjid Al-Qudus Mukim Paya Bemban di Kota Bharu, seorang lelaki akhirnya berjaya ditahan, hari ini.

Lelaki berusia 22 tahun itu ditahan penduduk kampung dan tangannya diikat pada tiang di hadapan Masjid Al-Qudus Mukim Paya Bemban kira-kira 12.30 tengah hari tadi.

Dia diikat dengan rantai besi selama 30 minit sebelum ditahan polis untuk tindakan lanjut.

Difahamkan pada 26 Oktober lalu, lelaki itu memecah masuk masjid dengan mengumpil pintu hadapan sebelum mencuri televisyen bersaiz 48 inci di ruang solat wanita.

Imam Tua masjid itu, Ahmad Tarmizi Abdul Rauf, 48, berkata, kegiatan lelaki itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

“Saya membuat laporan polis dan selepas kami meneliti rakaman CCTV, penduduk mengenali lelaki itu yang tinggal di kawasan berhampiran.

“Penduduk kampung sudah beberapa kali ke rumahnya, namun dia bersembunyi. Hanya hari ini dia berjaya ditahan," katanya.

Menurutnya, dia hanya mengetahui mengenai penahanan lelaki itu selepas dihubungi penduduk kampung.

Katanya, sebaik menerima maklumat itu, dia bergegas ke masjid dan terkejut melihat lelaki itu diikat di tiang masjid berkenaan.

“Saya terus hubungi polis untuk tindakan lanjut dan pada masa yang sama, saya minta kepada penduduk supaya lelaki itu tidak dicederakan.

“Saya dimaklumkan orang kampung berbuat demikian (ikat pada tiang) sebagai pengajaran kepada lelaki itu.

“Kira-kira 1 tengah hari, polis datang dan terus mengambilnya untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi tadi.

Kejadian lelaki itu diikat di hadapan masjid itu menjadi tular di Facebook (FB) sejak tengah hari tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 451 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 6:26 PM