MOHD Yaacob Hashim, 65, menunjukkan gambar dua lelaki diikat pada pokok kelapa dipercayai mencuri kepala di Sekolah Agama Rakyat Al-Hidayah, Kampung Tersusun Batu 7 Lekir, Sitiawan. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
MOHD Yaacob Hashim, 65, menunjukkan gambar dua lelaki diikat pada pokok kelapa dipercayai mencuri kepala di Sekolah Agama Rakyat Al-Hidayah, Kampung Tersusun Batu 7 Lekir, Sitiawan. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


PENDUDUK mengikat dua lelaki pada pokok selepas dikesan mencuri kelapa dalam kawasan Sekolah Agama Rakyat Al-Hidayah, Kampung Tersusun, Batu 7 Lekir, Sitiawan.

Perbuatan mereka yang memanjat pokok kelapa setinggi lima meter disedari pemilik kedai runcit dekat sekolah terbabit, pada 10.30 pagi semalam.

Penduduk yang juga bekas ketua kampung, Mohd Yaacob Hashim, 65, berkata sebaik menerima maklumat, dia bersama 10 penduduk lain ke lokasi itu.

Katanya, mereka mendapati seorang daripada suspek sudah berada di dalam kereta manakala rakannya hendak ke kedai.

“Seorang dalam belasan tahun. Seorang lagi awal 30-an. Kami dapati dalam kereta itu sudah ada beberapa tandan kelapa. Namun, tak pasti kelapa itu diambil di kampung kami atau tempat lain.

"Saya kemudian tanya adakah mereka mengambil kelapa itu. Sebaik mereka mengakuinya, kami terus menangkap dan ikat mereka pada pokok kelapa.

“Kami ikat mereka dengan tali yang mereka guna untuk menurunkan kelapa dari pokok," katanya ketika ditemui hari ini.

Katanya, tujuan diikat adalah untuk memberi pengajaran kepada mereka selain peringatan buat penduduk supaya berhati-hati selepas ini kerana kampung mereka sering berlaku kes kecurian.

"Kami ikat dua lelaki itu kira-kira 15 minit iaitu sehingga polis tiba. Kami tak pukul atau mencederakan mereka kerana mahu polis ambil tindakan,” katanya.

"Mereka merayu dilepaskan dan mendakwa itu kali pertama mencuri kelapa di kampung kami.

“Kami mahu tindakan (ikat pada pokok) dijadikan pengajaran kepada mereka selain individu lain yang pernah membuat perkara yang sama di kampung kami," katanya yang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2017 @ 10:37 AM