ABU Shukor  (kanan) berkata sesuatu kepada anak sulung  Siti Aishah,  Abdul Halim Zakaria (kiri) selepas menyerahkan sumbangan, semalam.
ABU Shukor (kanan) berkata sesuatu kepada anak sulung Siti Aishah, Abdul Halim Zakaria (kiri) selepas menyerahkan sumbangan, semalam.
HM Digital

Kepala Batas: “Arwah ibu kelihatan begitu bersemangat sebelum bertolak ke Makkah dan takdir menentukan segalanya apabila dia meninggal dunia di sana,” kata Adnan Zakaria, 45, anak kepada Siti Aishah Awang, 69, jemaah haji dari Pulau Pinang yang meninggal dunia di Tanah Suci.

Siti Aishah dari Paya Keladi Tengah, di sini, meninggal dunia pada jam 2.35 petang (waktu Arab Saudi), 9 September lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Arwah berlepas ke Makkah dengan penerbangan KT69 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas pada 22 Ogos lalu bersama suaminya, Zakaria Mat, 75.

Menurut Adnan, arwah ibunya beria-ia hendak ke Makkah selepas mendaftar pada 2008 dan akhirnya menjadi kenyataan selepas menunggu sembilan tahun.

“Sebelum bertolak, dia begitu bersemangat walaupun kesihatannya kurang memuaskan.

“Dia membuat rayuan beberapa kali kepada Tabung Haji (TH) bagi membolehkan namanya disenaraikan ke Makkah tahun ini dan impiannya menjadi kenyataan.

“Walaupun sedih, kami reda dengan pemergiannya kerana arwah meninggal dunia di Tanah Suci,” katanya selepas dikunjungi Pengarah TH Pulau Pinang Abu Shukor Jangga yang menyampaikan sumbangan Takaful Khairat Kematian, air zam-zam dan kurma, semalam.

Difahamkan, Siti Aishah sempat mengerjakan haji dan beberapa hari selepas itu, kesihatannya merosot sebelum meninggal dunia dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Syara’ie, Makkah pada 10 September lalu.

Adnan berkata, keluarganya kini menunggu kepulangan bapanya dari Tanah Suci yang dijangka menaiki penerbangan antara 1 hingga 4 Oktober depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 4:09 AM