Ketua Pegawai Operasi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Adi Azuan Abdul Ghani (kanan), menyampaikan sumbangan Khairat Kematian, kurma dan air zamzam kepada Jasliza Begum Muhammad Bashir. FOTO BERNAMA
Ketua Pegawai Operasi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Adi Azuan Abdul Ghani (kanan), menyampaikan sumbangan Khairat Kematian, kurma dan air zamzam kepada Jasliza Begum Muhammad Bashir. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Seorang jemaah haji yang meninggal dunia di Makkah, Jante Biby Muhammad Shariff, 67, pernah memaklumkan kepada anaknya, Jasliza Begum Mohammad Bashir, 35, bahawa beliau tidak mahu kembali ke Malaysia.

Jasliza Begum berkata, kata-kata ibunya itu ibarat petanda wanita itu akan pergi buat selamanya.

"Semasa saya menghubungi ibu sebelum jemaah haji berangkat ke Arafah, beliau berada dalam keadaan baik dan sihat malah suaranya amat gembira memberitahu keadaannya yang terlalu seronok berada di Tanah Suci serta kalau boleh, tak mahu kembali ke Malaysia,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Menurutnya, ibunya pernah tersenarai sebanyak tiga kali untuk menunaikan haji, namun tidak kesampaian kerana terdapat beberapa halangan yang tidak dapat dielakkan ketika itu.

"Sebelum ibu meninggal dunia, beliau hanya beritahu kakak saudara saya yang berangkat ke Makkah bersamanya bahawa dia letih dan hendak tidur untuk berehat," katanya.

Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, beliau dimaklumkan mengenai kematian ibunya oleh wakil Lembaga Tabung Haji (TH) pada 11.30 malam, 6 September lalu, empat jam selepas wanita itu menghembuskan nafas terakhir.

Katanya, mereka sekeluarga reda dengan pemergian Jante Biby dan berterima kasih kepada petugas TH yang telah menguruskan sepenuhnya jenazah ibunya.

Jante Biby berlepas ke Tanah Suci dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1 Ogos dan dijadual pulang ke tanah air pada 13 September lalu.

Wanita itu meninggal dunia di sebuah hospital di Makkah akibat jangkitan kuman pada 2 petang (waktu Arab Saudi) 6 September dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Syara'ie keesokan harinya, selepas 37 hari berada di Tanah Suci.

Terdahulu, Jasliza Begum dan keluarga menerima kunjungan Ketua Pegawai Operasi TH, Datuk Adi Azuan Abdul Ghani yang menziarahi waris Allahyarhamah dan menyerahkan wang Khairat Kematian, wang insurans takaful, buah kurma dan air zamzam kepada Jasliza Begum.

Sementara itu, Adi berkata, setakat hari ini 55 jemaah haji meninggal dunia di Makkah, manakala seorang meninggal dunia sebaik tiba di tanah air.

"Kita dah ziarah 19 waris jemaah yang meninggal dunia dan banyak lagi akan dilakukan. Sebanyak 39 peratus daripada jumlah keseluruhan jemaah sudah pulang ke tanah air dan penerbangan terakhir akan tiba di KLIA pada 5 Oktober ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2017 @ 5:32 PM