WAHYUDIN (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada menantu Allahyarham Noor Aini, Saharon Sahari, 35. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
WAHYUDIN (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada menantu Allahyarham Noor Aini, Saharon Sahari, 35. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mohamad Zulhairie Manzaidi


LEMBAGA Tabung Haji (TH) akan melaksanakan badal haji untuk arwah Noor Aini Muhammad, 55, dari Kampung Kubang Mas, Pasir Mas yang meninggal dunia sebelum sempat menunaikan ibadah itu pada 9 Ogos lalu.

Pengarah TH Kelantan, Wahyudin Tamami berkata, arwah meninggal dunia 9 Ogos lalu di Hospital Aldar, Madinah akibat jangkitan kuman.

Katanya, Noor Aini berlepas ke Tanah Suci bersama suaminya, Rukman Sidek, 57, dengan menaiki penerbangan KT03 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madinah pada 25 Julai lalu.

"Bagaimanapun, pada 1 Ogos lalu dia dimasukkan ke hospital kerana tidak sedarkan diri.

"Noor Aini dirawat selama lapan hari sebelum meninggal dunia pada 9 Ogos dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Baqi' Madinah," katanya ketika ditemui selepas Majlis Ziarah keluarga jemaah haji meninggal dunia di Kampung Kubang Mas, Tendong, hari ini.

Menurutnya, TH turut menyampaikan sumbangan Takaful Khairat Kematian, air zam-zam dan kurma kepada waris.

"Kita berharap keluarga arwah diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2017 @ 6:19 PM