JOHARI  menyampaikan sumbangan  kepada Samsiah di rumahnya di Parit 1/7, Labu Kubong, Chenderong Balai, semalam.
JOHARI menyampaikan sumbangan kepada Samsiah di rumahnya di Parit 1/7, Labu Kubong, Chenderong Balai, semalam.
Abu Bakar Al Sidek


Teluk Intan: Jemaah haji, Sarman Napiah, 77, yang meninggal dunia di Makkah pada 3 September lalu mengadu keletihan sebelum disahkan menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung.

Isterinya yang turut menunaikan ibadah haji, Samsiah@Asmah Arpah, 76, berkata, Allahyarham sebelum itu sempat minum secawan teh dan kemudian ditinggalkan bersendirian di dalam bilik hotel manakala dia dan anak perempuan mereka, Azizah, 47, masuk ke bilik bersebelahan.

Samsiah berkata, ketika itu, mereka tiga beranak baru tiba di Makkah dari Mina dan arwah mengadu kepenatan lalu berbaring di dalam bilik hotel.

“Selepas memberi secawan teh kepadanya, saya masuk ke bilik penginapan bersebelahan dan tidak lama selepas itu, saya dan Azizah masuk semula ke biliknya dan melihat dia terbaring di atas katil dalam keadaan lemah.

“Saya dan Azizah memicit-micit badannya, tetapi terasa badannya lembik dan tidak bergerak menyebabkan kami memanggil pegawai Tabung Haji (TH).

“Kami menangis apabila pegawai itu memaklumkan suami saya sudah tiada,” katanya yang ditemui ketika menerima kunjungan pegawai TH diketuai Timbalan Pengarah TH Perak Johari Ismail yang turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM1,500 kepadanya di rumahnya di Parit 1/7, Labu Kubong, Chenderong Balai, di sini, semalam.

Jemaah haji itu disahkan meninggal dunia pada jam 7.45 malam waktu Arab Saudi dan Allahyarham mempunyai 11 anak, 60 cucu serta 20 cicit.

Samsiah yang reda dengan pemergian suaminya berkata, jenazah suaminya diurus dan dikebumikan oleh TH di tanah perkuburan Syaraie, Makkah pada keesokannya.

Katanya, dia dan Azizah pulang ke Malaysia pada 9 September lalu dan keluarga turut mengadakan kenduri arwah di rumah mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2017 @ 3:53 AM