Muhammad Apendy Issahak


POLIS Perak berjaya menumpaskan kes culik seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun di kawasan Taiping membabitkan tuntutan wang tebusan berjumlah RM3 juta pada pada 3 hingga 6 September lalu.

Remaja lelaki terbabit diculik di Taiping sebelum disembunyikan di Butterworth, Pulau Pinang.

Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat daripada bapa mangsa pada jam 3.30 petang 3 September lalu yang mengatakan anaknya diculik dan penculik meminta sejumlah wang tebusan selain mengugut untuk mencederakan atau membunuh mangsa sekiranya tuntutan tidak dipenuhi.

"Bapa mangsa seorang peniaga barangan terpakai di Taiping berusia 43 tahun membuat aduan mengatakan anaknya diculik pada 2 September kira-kira jam 8 malam dan penculik meminta tebusan RM3 juta.

"Dari 3 hingga 6 September bapa mangsa menerima 10 panggilan telefon daripada suspek dan berjaya membuat rundingan mengurangkan wang tebusan menjadi RM300,000," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Ipoh hari ini.

Menurutnya, Pasukan Siasatan Khas ditubuhkan susulan kes itu dan pada 5 September lalu, suspek menghubungi bapa mangsa mengarahkan ke Johor Bahru untuk menyerahkan wang tebusan.

"Selepas penyerahan wang tebusan dibuat polis membuat enam serbuan di beberapa lokasi di Johor Bahru dan membuat lapan tangkapan.

"Pada masa sama kira-kira jam 10 malam, polis juga berjaya menyelamatkan mangsa dengan menahan dua suspek yang membawa mangsa dengan kereta jenis Perodua Myvi di Pulau Pinang.

"Mangsa ketika itu dalam keadaan sangat trauma dengan tangan diikat dan mata ditutup dengan kain di bahagian tempat duduk belakang kereta berkenaan, namun tidak alami sebarang kecederaan," katanya.

Menurutnya, polis kemudian menahan dua lagi suspek menjadikan keseluruhan tangkapan adalah seramai 12 suspek berusia 17 hingga 36 tahun termasuk tiga wanita.

"Polis turut berjaya menemui wang tunai berjumlah RM175,400 di dua lokasi berasingan di Johor Bahru dan masih mengesan baki wang tebusan berkenaan yang dipercayai sudah dibahagikan sesama suspek.

"Kes kini disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara seumur hidup dan lima suspek sudah dibebaskan dengan jaminan polis, manakala tujuh lagi direman serta menunggu arahan daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk pendakwaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2017 @ 3:25 PM
Hasnan menunjukkan sebahagian duit tebusan yang berjaya ditemui semula. FOTO Muhaizan Yahya
Hasnan menunjukkan sebahagian duit tebusan yang berjaya ditemui semula. FOTO Muhaizan Yahya