GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izlaily Nurul Ain Hussein


KURANG 24 jam selepas menerima maklumat, polis berjaya menyelamatkan seorang lelaki warga India yang dikurung dalam sebuah bilik di rumah tumpangan dekat Tampoi di Johor Bahru, semalam.

Dalam serbuan jam 4.30 petang, mangsa berusia 28 tahun itu ditemui dalam keadaan berikat dan dikawal tiga lelaki warga Pakistan.

Pada masa sama, polis menahan ketiga-tiga lelaki berkenaan.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada Pejabat Kedutaan India yang disalurkan kepada Ketua Unit Perlindungan Antarabangsa, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

“Keluarga mangsa ada membuat laporan di India selepas menerima mesej tuntutan wang tebusan daripada penculik.

“Rakan mangsa, seorang lelaki warga India juga membuat satu laporan polis di Shah Alam pada jam 12.49 tengah malam semalam.

“Mangsa dilaporkan diculik oleh sekumpulan lelaki dan penculik meminta wang tebusan berjumlah RM200,000 untuk pembebasan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, mangsa berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan serius, namun dihantar ke hospital untuk rawatan dan pemeriksaan.

“Tiga suspek iaitu lelaki warga Pakistan berusia antara 26 hingga 29 tahun yang dipercayai terbabit dengan insiden penculikan itu, kini ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Julai 2018 @ 11:10 AM