Asri (dua dari kanan) menunjukkan ketulan mampat ganja yang dirampas. FOTO Aizat Sharif
Asri (dua dari kanan) menunjukkan ketulan mampat ganja yang dirampas. FOTO Aizat Sharif
Aizat Sharif


SEBANYAK 74 ketulan ganja mampat dengan anggaran berat 75.5 kilogram (kg) bernilai RM150,000 dirampas selepas polis menahan seorang lelaki dalam satu sekatan jalan raya di Bukit Kayu Hitam semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff berkata, tangkapan dilakukan pada 10.15 malam oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah yang mengesan sebuah Honda Accord yang baru tiba dari Thailand melalui Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin Bukit Kayu Hitam.

“Anggota bertindak menahan kereta terbabit ketika menghampiri sekatan jalan raya oleh Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Bukit Kayu Hitam sebelum dibawa ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk pemeriksaan lanjut.

“Pemeriksaan polis menjumpai 74 ketulan mampat disyaki ganja di but kereta,” katanya dalam sidang media di IPK Kedah, Alor Setar, hari ini.

Beliau berkata, suspek berusia 30 tahun berasal dari Sungai Petani dan dia dipercayai sudah dua kali memasuki negara jiran untuk membawa bekalan dadah ke negara ini.

“Suspek dibayar sebanyak RM1,000 oleh sindiket dadah untuk membawa masuk bekalan,” katanya.

Asri berkata, pihaknya masih menyiasat rangkaian sindiket terbabit.

Suspek direman sehingga 28 Ogos untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2017 @ 5:46 PM