Izad Thaqif Hassan

Kulim: Pendapatan sebagai pemandu bas kilang dan pemandu teksi ternyata tidak cukup buat seorang lelaki apabila dia turut dikesan mengedar dadah untuk mencari wang sampingan.

Bagaimanapun, perbuatan suspek berusia 47 tahun itu terbongkar apabila ditahan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (DSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di parkir perumahan awam di Kelang Lama, di sini, Khamis minggu lalu.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, suspek ditahan pada 5.15 petang sebaik dia keluar dari bahagian pemandu bas kilang dan pemeriksaan menemui ganja seberat 0.35 gram (g) di dalam beg silang digunakannya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di dalam bas itu, polis menemui dua guni putih yang diikat menggunakan gelang getah mengandungi ketulan mampat berisi ganja.

"Guni pertama mengandungi 19 ketulan mampat ganja dianggarkan seberat 19.5 kilogram (kg) manakala guni kedua mengandungi 22 ketulan mampat ganja dengan anggaran berat 22.4kg.

"Polis turut menemui satu guni putih mengandungi 12 ketulan mampat ganja seberat 11.9kg di bawah bas terbabit," katanya pada sidang media di IPD Kulim, hari ini.

WAN Hassan (kanan) menunjukkan ganja dirampas pada sidang media di IPD Kulim, hari ini. FOTO IZAD THAQIF HASSAN
WAN Hassan (kanan) menunjukkan ganja dirampas pada sidang media di IPD Kulim, hari ini. FOTO IZAD THAQIF HASSAN

Beliau berkata, susulan daripada itu polis melancarkan empat serbuan termasuk tiga di Pulau Pinang yang bermula 7 hingga 9 Januari lalu dan menahan tujuh suspek termasuk seorang wanita bersama suaminya.

Menurutnya, serbuan terbabit dilakukan di Ayer Hitam, Butterworth, Jelutong serta sebuah rumah di Taman Kemuning, dekat sini dan rampasan dadah turut dilakukan dalam operasi susulan itu.

"Kami percaya semua suspek adalah sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak hampir setahun lalu dan melakukan aktiviti menjual ganja sekitar kawasan utara.

"Kami tidak menolak kemungkinan sindiket menggunakan kenderaan awam sebagai taktik untuk mengaburi mata pihak berkuasa, namun taktik itu terbongkar hasil risikan polis.

"Siasatan awal mendapati sindiket memperoleh bekalan dadah dari negara jiran sebelum dibawa ke negeri ini dan diedar dalam jumlah kecil dan usaha mengesan ahli sindiket masih bebas sedang dilakukan," katanya.

Beliau berkata, ada antara suspek bekerja sebagai pemandu bas, pemandu teksi, pengawal keselamatan serta buruh dan semua mereka berusia 29 hingga 49 tahun itu direman sehingga 13 Januari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Menurutnya, jumlah keseluruhan ganja dirampas seberat 58.9kg yang dianggarkan bernilai RM147,450 dan polis turut menyita tiga kenderaan bernilai RM38,845.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 5:55 PM