KETUA Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff (tiga kiri) menunjukan sebahagian 160 ketul ganja ganja bernilai RM496,500 yang dirampas dalam satu serbuan di Seberang Jaya, Pulau Pinang oleh JSJN Kedah dalam operasi Isnin lalu. FOTO Omar Osman
KETUA Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff (tiga kiri) menunjukan sebahagian 160 ketul ganja ganja bernilai RM496,500 yang dirampas dalam satu serbuan di Seberang Jaya, Pulau Pinang oleh JSJN Kedah dalam operasi Isnin lalu. FOTO Omar Osman
Omar Osman


POLIS Kedah merampas 160 ketulan mampat ganja bernilai RM496,500 dalam serbuan ke atas dua kenderaan pelbagai guna (MPV) di parkir kenderaan pasar raya dekat Seberang Jaya, Pulau Pinang petang Isnin lalu.

Serbuan dilakukan 3.15 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dalam satu operasi di Kedah dan Pulau Pinang.

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff berkata, serbuan dilakukan pasukan JSJN selepas mengekori Naza Citra dipandu seorang lelaki dari Yan sehingga ke kawasan pakir pasar raya Tesco Extra, Seberang Jaya yang dijadikan sebagai lokasi pertemuan dengan suspek memandu Perodua Alza.

Beliau berkata, selepas mengenal pasti kedua-dua MPV kereta itu, pasukan JSJN terus membuat serbuan secara serentak dan menahan kedua pemandu berusia 41 dan 27 tahun.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua suspek tidak menemui sebarang barang salah dan mereka kemudiannya dibawa dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Jaya bersama-sama kenderaan terbabit.

"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas Naza Citra, polis menemui dua guni berisi 60 ketulan mampat disyaki dadah ganja seberat 61.9 kilogram (kg).

"Sementara itu, pemeriksaan terhadap Perodua Alza menemui tiga guni putih mengandungi 100 ketulan mampat ganja seberat 103.6 kg.

"Keseluruhan berat ganja yang dirampas adalah 165.5 kg dengan nilai pasaran sebanyak RM496,500," katanya pada sidang media di IPD Kuala Muda hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid.

Asri berkata, pihaknya turut merampas wang tunai RM2,723 dan jam tangan Rolex daripada pemandu Naza Citra dan RM192 daripada pemandu Perodua Alza itu.

"Kedua-dua suspek yang bekerja penjual daging dan peniaga kedai makan serta berasal dari Pulau Pinang kini direman seminggu bermula 8 hingga 15 Januari ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 6:42 PM