KETULAN mampat disyaki ganja yang dirampas polis dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Tok Wee, Kuala Ketil. FOTO IHSAN PDRM
KETULAN mampat disyaki ganja yang dirampas polis dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Tok Wee, Kuala Ketil. FOTO IHSAN PDRM
Aizat Sharif


DUA lelaki yang juga sepupu diberkas polis selepas menemui 11 ketulan mampat disyaki ganja seberat 11 kilogram (kg) bernilai lebih RM33,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Tok Wee, Kuala Ketil, Baling, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Superitendan Helmi Aris berkata, serbuan dilakukan sekitar jam 7 petang sebaik polis mendapat maklumat berkenaan kegiatan pengedaran dadah di rumah berkenaan.

“Ketika serbuan, suspek berusia 30 dan 31 tahun berada dalam sebuah bilik di rumah itu serta cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan.

“Pemeriksaan terhadap suspek tidak menjumpai sebarang barangan terlarang tetapi siasatan lanjut di lantai bilik, polis menjumpai guni dalam keadaan terbuka.

“Apabila diperiksa kandungan guni ini, terdapat 11 balutan plastik lutsinar di mana setiap satu berisi ketulan mampat disyaki ganja dengan anggaran berat 11.16 kg yang dianggarkan bernilai lebih RM33,000,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Katanya, turut dirampas dalam serbuan itu adalah sebotol plastik diubah suai menjadi alat untuk menghisap ganja, satu papan kayu dan sebilah pisau, satu anak kunci, sehelai seluar panjang dan baju berwarna putih.

“Kita turut merampas kereta Perodua Myvi dipercayai milik suspek dan wang tunai RM2,000.

“Siasatan awal mendapati, suspek adalah penduduk tempatan dan bekerja sebagai operator kilang dan aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah di sekitar Baling dan Kulim,” katanya.

Beliau berkata, suspek juga mempunyai rekod jenayah membabitkan dadah.

“Saringan ujian air kencing juga mendapati mereka positif ganja.

“Kedua-dua suspek kini direman selama seminggu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 7:05 PM