LAPORAN Harian Metro
LAPORAN Harian Metro
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) membuka kertas siasatan berhubung kes penipuan skim pelaburan yang membabitkan kerugian RM1 bilion.

SSM dalam kenyataan berkata, sebanyak 362 aduan diterima setakat ini dengan sebahagian daripada pengadu sudah dipanggil untuk dirakam keterangan.

"SSM akan memanggil beberapa lagi pengadu bagi memastikan sama ada wujud asas kesalahan di bawah perundangan yang ditadbir oleh SSM.

"Sekiranya wujud pelanggaran mana-mana peruntukan yang dikawal selia oleh SSM, tindakan penguatkuasaan sewajarnya akan diambil," kata kenyataan itu hari ini.

Harian Metro pada Khamis mendedahkan lebih 200 syarikat dipercayai aktif melakukan penipuan skim pelaburan membabitkan kerugian RM1 bilion.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim dilaporkan berkata, skim pelaburan seumpama itu sudah wujud sejak 2015, tetapi semakin trending pada tahun ini.

Beliau dipetik berkata, sindiket penipuan ini menggunakan syarikat berdaftar di SSM dan syarikat ala patuh syariah dengan menawarkan skim pelaburan sah di sisi undang-undang.

Katanya, pelaburan terbabit bermodelkan tabung amanah dan Islamic Redeemable Share (i-RPS) serta deposit memorandum maklumat termasuk sijil kewangan Islam (Sukuk).

Selain itu, beliau berkata, syarikat juga menggunakan nama besar dan individu kenamaan serta pesara kerajaan, selain menggunakan nama institusi perbankan terkemuka.

Pada Rabu lalu, kira-kira 200 mangsa penipuan berkenaan yang kecewa selepas tiada tindakan diambil pihak berkuasa ke atas syarikat pelaburan sekali lagi tampil ke SSM mendesak supaya siasatan dilakukan.

Kumpulan yang dibawa oleh MHO itu mahu siasatan dijalankan mengikut Akta Skim Kepentingan 2016 (Akta 778) bagi membolehkan syarikat berkenaan dikenakan tindakan undang-undang.

Dalam pada itu, SSM dalam kenyataan itu memandang serius dakwaan terbabit kerana menjejaskan amalan tadbir urus korporat baik yang seharusnya dipraktikkan oleh pengarah syarikat.

SSM juga sentiasa konsisten dalam mengawal selia pematuhan peruntukan undang-undang dan memastikan komuniti korporat peka berhubung tanggungjawab serta etika perniagaan.

SSM menasihati pelabur untuk sentiasa berhati-hati dan menjalankan usaha wajar terlebih dahulu dengan menyemak skim pelaburan ditawarkan sebelum menyertainya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2023 @ 4:51 PM