Aminuddin (duduk, tiga dari kiri) bersama Osman (duduk dua dari kanan) pada program Jom Makan Durian. FOTO Mohd Sharumnisham Shahbudin
Aminuddin (duduk, tiga dari kiri) bersama Osman (duduk dua dari kanan) pada program Jom Makan Durian. FOTO Mohd Sharumnisham Shahbudin
Mohd Sharumnisham Shahbudin

PULUT durian dimakan bersama susu kerbau menjadi tarikan program 'Jom Makan Durian Bersama YB Pak Tam' di Kampung Lahar, Mukim Malau, Kubang Pasu, hari ini.

Program dihadiri hampir 200 pegawai agensi kerajaan, pemimpin masyarakat dan penduduk kampung itu dianjurkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra Datuk Aminuddin Omar atau lebih dikenali sebagai Pak Tam di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

Ketika ditemui, Aminuddin melahirkan kesyukuran apabila program bertujuan menghargai peranan pelbagai pihak yang banyak memberi sokongan kepadanya berjalan dengan lancar.

"Sebanyak 250 kilogram buah-buahan tempatan iaitu durian, cempedak dan rambutan disediakan untuk dinikmati tetamu.

"Menariknya, durian ini turut dimakan bersama pulut dan susu kerbau," katanya.

Katanya, kehadiran bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Osman Aroff dan ADUN Bukit Kayu Hitam Datuk Ahmad Zaini Japar turut memeriahkan majlis.

“Saya merancang untuk mengadakan program sama setiap kali tiba musim durian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2017 @ 8:35 PM