DUA lelaki yang ditahan penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) selepas disyaki tidak berpuasa dalam serbuan di tanah perkuburan Cina. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
DUA lelaki yang ditahan penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) selepas disyaki tidak berpuasa dalam serbuan di tanah perkuburan Cina. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


PULUT panggang yang masih panas, air mineral dan rokok antara yang ditemui ketika serbuan penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di kawasan tanah perkuburan Cina, Kuala Terengganu, semalam.

Dalam operasi selama tiga jam bermula 11 pagi, penguatkuasa JHEAT turut menahan dua lelaki termasuk seorang warga emas yang disyaki tidak berpuasa.

Difahamkan, tanah perkuburan itu menjadi tumpuan kaki ponteng sejak puluhan tahun yang lalu kerana golongan terbabit menganggap port itu adalah tempat selamat dan mudah untuk melarikan diri sekiranya ia diserbu pihak berkuasa

Menurut sumber, serbuan dilakukan penguatkuasa JHEAT hasil risikan dijalankan pihaknya mengenai lokasi berkenaan.

Katanya, ketika serbuan, beberapa orang lelaki dewasa yang berada di kawasan rehat di tengah-tengah tanah perkuburan itu kelihatan terkejut kerana tidak menyangka port berkenaan akan diserbu.

"Dua lelaki masing-masing berusia 48 dan 67 tahun berjaya ditahan, manakala seorang lagi lelaki berjaya meloloskan diri dengan menunggang motosikal.

"Hasil pemeriksaan, terdapat pulut panggang yang masih panas, air mineral dan rokok di atas bangku milik mereka, namun kedua-duanya menafikan ia milik mereka sebaliknya memaklumkan ia ditinggalkan orang lain yang berada sebelum mereka.

Dalam operasi berasingan, seorang lelaki memberi alasan tidak mampu untuk berpuasa kerana demam selepas dicekup penguatkuasa JHEAT di premis perniagaan makanan bukan Islam di Batu Rakit, Kuala Nerus, semalam.

"Lelaki berusia 24 tahun dan bekerja sebagai pencuci kereta itu ditahan sebaik keluar dari premis berkenaan kira-kira 1 petang.

"Ketika ditahan, lelaki terbabit sedang membawa sebungkus mee goreng dan air minuman sebelum dia ditahan untuk soal siasat," katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya JHEAT Wan Ismail Sahaimi Wan Omar ketika dihubungi mengesahkan penahanan tiga lelaki terbabit.

"Mereka bagaimanapun dibebaskan selepas keterangan mereka diambil, namun perlu hadir ke Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu untuk sesi khidmat nasihat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 6:00 PM