NASI pulut ayam, hidangan ringkas yang unik dan cukup menyelerakan.
NASI pulut ayam, hidangan ringkas yang unik dan cukup menyelerakan.
PELANGGAN dari luar Langkawi menikmati keenakan nasi pulut ayam Ku Rohayu.
PELANGGAN dari luar Langkawi menikmati keenakan nasi pulut ayam Ku Rohayu.
MOHAMAD Alif Azizuddin menggoreng ayam yang sudah diperap antara 4 hingga 5 jam untuk nasi pulut ayam.
MOHAMAD Alif Azizuddin menggoreng ayam yang sudah diperap antara 4 hingga 5 jam untuk nasi pulut ayam.
KU Rohayu menunjukkan hidangan nasi pulut ayam yang dijual di gerainya.
KU Rohayu menunjukkan hidangan nasi pulut ayam yang dijual di gerainya.
Suliati Asri


Hidangannya ringkas. Hanya ayam goreng, pulut dan bawang goreng rangup. Namun, itu sudah cukup menambat hati pelanggan untuk menjamu selera.

Itulah penangan pulut ayam yang diusahakan Ku Rohayu Ku Baharum, 46, di Pantai Chenang, Langkawi, sejak dua tahun lalu.

Menghidangkan hanya beberapa menu iaitu pulut ayam, pulut mangga dan pulut durian, keunikan dan keenakan juadah itu membuatkan ramai pengunjung dari seluruh negara bertandang ke gerainya tatkala berada di Langkawi.

Merungkai keunikan juadah yang disediakan, Ku Rohayu berkata, hidangan itu asalnya makanan popular di Thailand.

Disebabkan hidangan ini jarang dan sukar diperoleh di sekitar Langkawi, Ku Rohayu berkelana hingga ke Thailand bagi mendapatkan resipi itu.

“Selain menggunakan resipi yang dipelajari dari Thailand, bahan lainnya termasuk perapan ayam juga menggunakan bahan yang sama seperti yang digunakan di negara jiran itu,” katanya.

Walaupun cuma pulut dan ayam goreng, rasanya berbeza dan miliki kelainan tersendiri.

“Saya gunakan beras pulut yang mahal dan bergred tinggi. Sebab itu ia tidak terlalu melekit apabila dimakan, berbeza dengan kebanyakan beras pulut di Malaysia.

“Ayam goreng yang menjadi lauk utama juga punya kelainan tersendiri kerana walaupun digoreng, ia tidak keras atau terlalu kering disebabkan diperap dengan bahan khusus selama empat hingga lima jam,” katanya.

Ku Rohayu yang dibantu suami dan anak berkata, setiap hari dia menggunakan 10 hingga 12 ekor ayam untuk memenuhi permintaan pelanggan tetapnya.

Katanya, jumlah itu meningkat 20 hingga 25 ekor ayam pada musim cuti sekolah.

Bagi pulut mangga, ia cukup enak dengan gabungan pulut dan mangga Waterlily yang manis dan gebu.

Menambahkan rasa istimewa terhadap hidangan itu, sambal nasi lemak dan bawang goreng rangup menjadi pelengkap hidangan pulut ayam.

Dibuka dari jam 5 petang hingga 11 malam setiap hari kecuali Selasa, setiap hidangan dijual RM6 hingga ke RM9.

Pulut mangga berharga RM7 manakala pulut durian RM10.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2016 @ 12:50 PM