SAJIAN sihat dan seimbang.
SAJIAN sihat dan seimbang.
Aniza Zainudin


Hirisan daging kecil dimasak bersama cili padi, dihiasi daun kapow menjadi keunikan sajian daging Phad Kapow yang popular di Time Out Cafe.

Menu istimewa berasal dari utara Thailand ini disaji sempurna menggunakan resipi asli disifatkan hadiah terbaik buat penggemar hidangan negara gajah putih.

Pemilik cafe, Razman Abd Latif berkata, sajian Nasi Phad Kapow menjadi pilihan pengunjung yang menggemari menu pedas.

“Kita memberi pilihan kepada pengunjung sama ada ingin memilih daging mahupun ayam, namun kebanyakan pelanggan memilih daging.

“Menu ini mempunyai cita rasa istimewa kerana daging diperap bersama sos ‘homemade’ sebelum digoreng bersama daun Kapow.

“Daun Kapow seakan-akan daun selasih dan ia hanya boleh didapati di Thailand.

“Boat noodle antara kegemaran ramai kerana ia disediakan ala Thai. Sup berperisa tom yam turut menggabungkan rempah ratus tempatan untuk menghasilkan sup yang lazat,” katanya ketika ditemui di Sungai Buloh, Selangor.

Terbaru, Time Out Cafe memperkenalkan menu Ayam BBQ yang menggunakan rempah dari Thailand dan ia dibakar menggunakan buluh.

Jelas Razman, Ayam BBQ mempunyai dua sos iaitu pedas dan masam manis untuk dijamu bersama pulut.

Bagi mereka yang mementingkan pengambilan makanan tanpa nasi mahupun pulut, menu Lap Kai atau salad ayam disarankan buat pelanggan. Pelengkap hidangan pastinya pulut mangga sebagai pencuci mulut yang enak, sinonim dengan pemakanan rakyat negara jiran.

Pulut berwarna hijau dimakan bersama buah mangga segar, disempurnakan dengan santan berlemak sememangnya satu hidangan istimewa di Time Out Cafe, malah ia disediakan sepanjang hari.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2016 @ 5:01 AM