Polis menahan pelayan pelanggan warga asing dalam Ops Noda di Pekan Gurney, Sitiawan. FOTO ABDULLAH YUSOF
Polis menahan pelayan pelanggan warga asing dalam Ops Noda di Pekan Gurney, Sitiawan. FOTO ABDULLAH YUSOF
Farah Suhaidah Othman


WANITA mengandung lima bulan antara 21 wanita warga asing yang ditahan polis kerana dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di sebuah restoran dalam ladang kelapa sawit di Pekan Gurney, Sitiawan, jam 6.30 petang hari ini.

Serbuan Ops Noda itu dijalankan empat pegawai dan 15 anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak yang diketuai Pengawai Turus D7, Deputi Superintendan V Annadurai.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Datuk Gan Tian Kee berkata, kesemua wanita warga asing yang ditahan itu berusia 20 hingga 35 tahun.

Katanya, 12 daripada mereka adalah warga China, lapan Vietnam dan seorang Thailand.

Menurutnya, dalam serbuan itu pihaknya turut menahan dua wanita tempatan berusia 30-an dipercayai penjaga semua wanita warga asing berkenaan.

"Seramai lima wanita warga Vietnam termasuk seorang yang mengandung lima bulan ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Ketika serbuan dijalankan, beberapa wanita berjaya meloloskan diri dengan menunggag motosikal dan menaiki kereta serta dua wanita tempatan yang ditahan masih disiasat bagi mengenal pasti sama ada kedua-dua ini penjaga wanita warga asing berkenaan atau pemilik premis,”€ katanya.

Tian Kee berkata, berdasarkan pemantauan, semua wanita yang ditahan dipercayai akan melayan pelanggan bermula jam 5 petang hingga 8 malam sebelum ada di antara mereka dibawa pulang pelanggan untuk tujuan tertentu.

Katanya, serbuan hari ini adalah yang kedua dijalankan tahun ini dan semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung untuk siasatan lanjut.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah manakala bagi kesalahan menggaji pekerja asing tanpa permit sah disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63,”€ katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2017 @ 10:39 PM