GRO yang ditahan dalam serbuan di   pusat snuker di Damansara Perdana.
GRO yang ditahan dalam serbuan di pusat snuker di Damansara Perdana.
Kalidevi Mogan Kumarappa dan Mohd Husni Mohd Noor


Petaling Jaya: Bukan hanya pub atau disko menawarkan wanita pelayan pelanggan (GRO), malah sebuah pusat snuker di Damansara Perdana, di sini, turut menyajikan kumpulan GRO untuk ditempah pelanggan.

Pusat hiburan itu ternyata popular dalam kalangan lelaki tempatan berikutan rata-rata GRO Filipina dan Indonesia terbabit berpakaian seksi.

GRO itu akan menemani setiap pelanggan sama ada ketika berhibur mahupun bermain snuker dengan dibayar tip.

Bagaimanapun, kegiatan premis berunsur maksiat itu diserbu pihak berkuasa berikutan semua wanita GRO itu bekerja tanpa permit sah.

Dalam operasi dijalankan Unit Operasi Khas (QRT) Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa Jabatan Imigresen Putrajaya semalam, 32 individu diperiksa termasuk puluhan lelaki yang berhibur.

Hasil pemeriksaan itu, 15 individu ditahan membabitkan sembilan wanita Filipina, empat Indonesia, seorang Thailand dan seorang lelaki tempatan.

Serbuan itu dijalankan hasil maklumat dan risikan berhubung kegiatan tidak bermoral dilakukan wanita warga asing yang bekerja sebagai GRO.

Meskipun semua wanita itu diupah secara haram, pengurusan pusat hiburan itu mempunyai sistem kad perakam waktu bagi memastikan semua wanita itu hadir bekerja setiap hari.

Semua individu yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/1963 (Pindaan 2002), Seksyen 6(1)(c) akta yang sama dan Peraturan 39 Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata, 28 pekerja asing ditahan kerana bekerja tanpa permit sah dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia di tiga pusat hiburan dan pusat refleksologi di Damansara Perdana, Petaling Jaya dan Cheras, kelmarin dan semalam.

Dalam serbuan itu, seorang penyelia lelaki warga tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan kerana menggajikan pekerja asing tanpa permit sah.

Beliau berkata, operasi berkenaan diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Khalid A Rashid dengan kekuatan 19 pegawai Imigresen dari Unit Operasi Khas, Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa, Putrajaya.

“Seramai 46 warga asing diperiksa di ketiga-tiga premis itu dan hasil pemeriksaan mendapati 29 disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155),” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Katanya, siasatan mendapati pusat hiburan berkenaan dijadikan tempat tumpuan bagi GRO warga asing menjalankan aktiviti tidak bermoral bagi mendapatkan bayaran dan tip lumayan daripada pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2017 @ 9:36 AM