JIM Perak menahan 10 wanita warga asing yang dipercayai menawarkan khidmat seks di sebuah pusat urut di Jalan Dato Tahwil Azhar, Ipoh. FOTO Ihsan JIM Perak
JIM Perak menahan 10 wanita warga asing yang dipercayai menawarkan khidmat seks di sebuah pusat urut di Jalan Dato Tahwil Azhar, Ipoh. FOTO Ihsan JIM Perak
Mohd Hafizee Mohd Arop


SEBUAH pusat urut di Jalan Dato Tahwil Azhar di Ipoh diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak kelmarin selepas didapati menawarkan khidmat seks wanita warga asing kepada pelanggan.

Dengan mengenakan bayaran RM188 untuk 45 minit dan RM208 untuk sejam, aktiviti persundalan di premis itu terbongkar hasil maklumat orang ramai diikuti risikan dijalankan JIM.

Pengarah JIM Perak, Kamalludin Ismail berkata, operasi dijalankan 3.40 petang hingga 6.50 petang itu menahan 17 individu membabitkan 10 wanita warga asing yang dipercayai menawarkan khidmat seks.

Katanya, 10 wanita yang ditahan terdiri enam warga Vietnam, empat wanita Thailand, manakala seorang lelaki Bangladesh, dua lelaki Myanmar serta empat pekerja termasuk majikan warga tempatan.

“Seramai 22 orang diperiksa dalam operasi dijalankan enam pegawai dari Bahagian Penguat Kuasa JIM Perak dan semua yang ditahan berumur 19 hingga 49 tahun.

“Wanita terbabit disyaki berkerja sebagai pelayan di pusat urut berkenaan dan ketika serbuan mereka sedang asyik melayan pelanggan,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Kamalludin berkata, siasatan mendapati premis berkenaan beroperasi dari jam 11 pagi hingga 2 pagi.

“Semua yang ditahan didapati melakukan pelbagai kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah.

“Selain Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 iaitu melindungi warga asing tanpa pas yang sah,” katanya.

Menurut Kamalludin, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 51(5)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan semua tahanan dibawa ke Depot Imigresen Langkap untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 5:20 PM