Antara wanita PATI warga Vietnam yang ditahan Imigresen dalam serbuan pusat hiburan di Parit Buntar. FOTO  ihsan Jabatan Imigresen Perak
Antara wanita PATI warga Vietnam yang ditahan Imigresen dalam serbuan pusat hiburan di Parit Buntar. FOTO ihsan Jabatan Imigresen Perak
Farah Suhaidah Othman


BUDAK lelaki berusia lima tahun bersama ibu bapanya antara 32 pendatang tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam serbuan dijalankan Jabatan Imigresen Perak di enam lokasi di sekitar Semanggol dan Parit Buntar, awal pagi hari ini.

Serbuan dijalankan selama empat jam bermula 11.30 malam berjaya menahan lapan lelaki berusia antara 20 hingga 50 tahun manakala 23 wanita berusia antara 18 hingga 45 tahun serta kanak-kanak lelaki berkenaan bersama kedua ibu bapanya.

Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen Perak (Kawalan), Ahamat Puad Abd Hamid berkata, operasi membabitkan 19 pegawai dan anggota Imigresen Ipoh di beberapa lokasi di sekitar Parit Buntar dan Semanggol termasuk pusat hiburan, rumah kongsi di tapak pembinaan dan rumah kediaman.

Katanya, dalam serbuan itu seramai 87 warga asing diperiksa dan 32 daripada mereka ditahan atas pelbagai kesalahan.

"Semua yang ditahan termasuk enam lelaki warga Bangladesh, tiga lelaki termasuk seorang kanak-kanak dan seorang wanita warga Indonesia, dua wanita warga Thailand dan selebihnya wanita warga Vietnam.

"Antara kesalahan yang dikenal pasti adalah tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan salah guna pas lawatan,” katanya dalam satu kenyataan di Ipoh, hari ini.

Ahamat Puad berkata, semua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Ipoh untuk tujuan dokumentasi sebelum dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Langkap untuk siasatan lanjut.

€œOperasi diadakan secara berterusan bagi membendung masalah PATI di negeri ini dan majikan diingatkan supaya tidak menggaji serta melindungi PATI kerana mereka boleh dikenakan hukuman mengikut Akta Imigresen 1959/63,”€ katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2017 @ 7:43 PM