Mayat mangsa dibawa ke jeti Pekan Lingga sebelum ke Hospital Sri Aman. FOTO ihsan bomba
Mayat mangsa dibawa ke jeti Pekan Lingga sebelum ke Hospital Sri Aman. FOTO ihsan bomba
Ekhwan Haque Fazlul Haque


MAYAT lelaki yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu di Sungai Batang Lupar, Lingga di Sri Aman ditemui penduduk kampung yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR), hari ini

Mohd Harfa Mahdini, 25, ditemui tersangkut pada ranting pokok kira-kira 10 pagi ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, mayat ditemui pada jarak 11 kilometer dari pos operasi sementara SAR di jeti Pekan Lingga.

Menurutnya, keadaan sungai yang surut membolehkan pasukan SAR yang memulakan operasi pada hari ketiga ini menemui mayat.

"Mayat dibawa ke Hospital Sri Aman untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian," katanya.

Jumaat lalu, Mohd Harfa dilaporkan hilang selepas terjatuh dari perahu bapanya ketika tiba di jeti Pekan Lingga kira-kira 2.30 petang.

Mangsa bersama bapanya sebelum itu keluar memukat ikan di kawasan sungai yang terletak kira-kira 45 minit dari jeti Pekan Lingga.

Namun, sebaik tiba di jeti berkenaan, bapa mangsa menyedari anaknya tidak berada di atas bumbung perahu sebelum membuat laporan polis dan mendapatkan bantuan dari pasukan bomba.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2017 @ 2:14 PM