IBU Allahyarham, Fauziah Musa, 53, menyiram air ke kubur anaknya. FOTO Rozainah Zakaria
IBU Allahyarham, Fauziah Musa, 53, menyiram air ke kubur anaknya. FOTO Rozainah Zakaria
Zatul Iffah Zolkiply

 

Kuala Nerus: Jenazah Lans Koperal Ahmad Sobri Harun, 26, pengawal peribadi kepada Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Mek Ngah, 8.20 pagi.

Jenazah Allahyarham disambut ahli keluarga dan penduduk kampung yang menunggu seawal 12 tengah malam tadi.

Jenazah Allahyarham tiba di perkarangan rumah keluarganya di Kampung Bukit Chempaka, di sini pada 7 pagi dan dibawa ke dalam rumah untuk solat jenazah sebelum ke tanah perkuburan untuk pengebumian.

Turut hadir, Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman; Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman; ADUN Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman dan ADUN Tepoh, Hishamuddin Abd Karim.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada jenazah adalah pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

Hampir 300 orang memenuhi perkarangan kubur bagi menyaksikan majlis pengebumian Allahyarham.

Sebelum ini, mayat ketiga nahas helikopter itu ditemui 1.03 tengah hari tadi di Sungai Batang Lupar, Lingga.

Mayat ketiga itu ditemui kira-kira satu kilometer dari kawasan mayat pertama iaitu Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon ditemui, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2016 @ 8:48 AM