Ahmad Zahid bersalaman dengan perwakilan sebelum merasmikan Mesyuarat Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Batu Pahat. FOTO Zulkarnian Ahmad Tajuddin
Ahmad Zahid bersalaman dengan perwakilan sebelum merasmikan Mesyuarat Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Batu Pahat. FOTO Zulkarnian Ahmad Tajuddin
Mohd Sabran Md Sani


KERAJAAN akan mewujudkan semula Jabatan Anti Keganasan khas di bawah pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berikutan terdapat ancaman keganasan semakin berleluasa di rantau ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata berikutan itu terdapat keperluan bagi mewujudkan jawatan seorang lagi Timbalan Ketua Polis Negara.

"Kita harus tahu bahawa PDRM harus memperkukuh dan memperbesarkan lagi keanggotaan dalam Unit Anti Keganasan ini dengan meningkatkan kepada taraf sebuah lagi jabatan di bawah PDRM di Bukit Aman.

"Mengenai personaliti calon akan dilantik itu, ia bergantung atas perkenan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, maka pengesahan itu akan dilakukan atau sebaliknya," katanya.

Beliau berkata demikian p ada sidang media ketika mengulas mengenai isu keperluan bagi PDRM mewujudkan jawatan dua orang Timbalan Ketua Polis Negara menerusi laporan akhbar hari ini.

Mengulas lanjut katanya, dia tidak menolak, mengesahkan atau menafikan analisis yang dibuat melalui akhbar itu.

"Sebagai Menteri Dalam Negeri yang mempengerusikan Mesyuarat Suruhanjaya Polis, pengumuman hanya dibuat selepas mesyuarat berkenaan mengesahkan atau menolaknya.

Terdahulu Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Batu Pahat di Dewan Jubli Intan di sini, sebentar tadi.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat merangkap Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi; Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Zaidi Japar dan Ketua Wanita Batu Pahat, Haliza Abdullah.

Kira-kira 1,000 ahli dari pelbagai sayap parti itu hadir pada persidangan UMNO Bahagian pertama diadakan di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2017 @ 3:17 PM