AHMAD Zahid (kanan) diiringi Menteri Muda Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Sarawak, Datuk Lee Kim Shin (kiri) sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. FOTO Bernama
AHMAD Zahid (kanan) diiringi Menteri Muda Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Sarawak, Datuk Lee Kim Shin (kiri) sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. FOTO Bernama
Muhd Amirul Faiz Ahmad


KEPIMPINAN Barisan Nasional (BN) ada alasan kukuh di sebalik pengguguran mana-mana penyandang kerusi atau ‘calon lama’ bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, keputusan itu tidak boleh dipertikaikan sama sekali kerana ia bersandarkan hasil kajian terperinci landskap politik semasa di sesebuah kawasan ditandingi, termasuk sokongan di peringkat akar umbi.

Malah, beliau menegaskan mana-mana penyandang kerusi atau ‘calon lama’ yang digugurkan perlu bersikap terbuka dalam menerima keputusan dibuat kepemimpinan parti dalam memastikan kelangsungan parti, khususnya bagi menghadapi PRU-14 yang disifatkan sebagai ‘ibu pilihan raya’.

“Mesti ada sedikit ‘daya tahan’ dan bersedia menerima hakikat dalam menghadapi situasi ini. Malah, saya pernah menerima tekanan dan desakan lebih hebat dulu, namun tidak sesekali saya membelakangkan parti, apa lagi meninggalkan parti, kita kena terus setia dengan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, hari ini selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Mesra Simunjan, Kota Samarahan.

Beliau mengulas isu pengguguran Ketua Bahagian UMNO Batu Pahat, Datuk Dr Puad Zarkashi yang juga Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) sebagai calon BN.

Ahmad Zahid berkata, Puad pernah diberi peluang sebagai Ahli Dewan Negara selama dua penggal, malah pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan.

“Pengguguran beliau di kawasan Parlimen Batu Pahat dibuat selepas penilaian terperinci dilakukan mengikut politik landskap di kawasan berkenaan.

“Kawasan Batu Pahat adalah kawasan ‘parah’ dengan kerosakan serta hakisan sokongan kepada BN. Dengan itu, kita perlu meletakkan calon berpotensi untuk merampas kerusi itu daripada PKR,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, BN mengambil pendirian positif berhubung potensi kemenangan dalam pilihan raya kali ini, khususnya di Sarawak.

“Tidak semua kerusi kawasan putih, ada juga kawasan kelabu di sana sini yang kita beri tumpuan. Namun, kita berfikiran positif dan yakin mampu menambah lebih banyak kerusi, khususnya di Sarawak walaupun ada dalam kalangan parti (komponen) kita menghadapi konflik dalaman.

“Ini perkara biasa, lumrah setiap kali tiba musim pilihan raya, pilihan raya umum dan pilihan raya negeri. Kita akan mencari jalan penyelesaian terbaik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 April 2018 @ 9:17 PM