MOHD Puad. FOTO arkib NSTP
MOHD Puad. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi tewas kepada timbalannya, Zaidi Japar dalam pemilihan merebut jawatan Ketua Umno Bahagian Batu Pahat.

Dalam persaingan tiga penjuru itu, Mohd Puad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rengit meraih 302 undi manakala Zaidi pula mendapat 401 undi.

Seorang lagi pencabar, Johari Abd Razak pula hanya memperolehi enam undi.

Mohd Puad menjawat jawatan Ketua Umno Batu Pahat sejak 2004.

Seramai 709 perwakilan terbabit dalam pemilihan yang berlangsung di Dewan Jubli Intan Batu Pahat, semalam.

Keputusan pemilihan Umno Bahagian Batu Pahat itu adalah yang terakhir diumumkan petang tadi, daripada sejumlah 26 bahagian di negeri ini.

Dalam pada itu, Setiausaha Umno Johor, Datuk Samsolbari Jamali berkata, sebanyak 25 bahagian sudah selesai menjalani proses pemilihan dan pengumuman pemenang.

Katanya, pemilihan Umno Bahagian Johor Bahru pula digantung berikutan lebihan kertas undi berbanding perwakilan, dengan tarikh pemilihan akan diumumkan Jawatankuasa Pemilihan Umno (JPU) Pusat.

"Sebanyak 11 Bahagian Umno mempunyai Ketua Umno yang baharu membabitkan Batu Pahat (Zaidi Japar), Pontian (Datuk Seri Ahmad Maslan), Tanjung Piai (Md Israk Abdullah), Tebrau (Datuk Abdul Halim Sulaiman), Sembrong (Datuk Abdul Ghani Abdul Rashid) dan Simpang Renggam (Datuk Onn Hafiz Ghazi).

"Lima lagi muka baharu yang menang Ketua Umno Bahagian ialah Sri Gasing (Datuk Mohd Lassim Burhan), Muar (Datuk Ashari Md Sarip), Bakri (Azman Ismail), Ledang (Datuk Rahim Talib) dan Sekijang (Datuk Baharum Mohamed)," katanya.

Mengulas kekalahan beberapa nama besar termasuk Datuk Seri Hasni Mohammad di Pontian, Samsolbari yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkata, perkara itu adalah sesuatu kebiasaan dalam pertandingan.

Katanya, jika ada pertandingan pasti ada yang menang dan ada yang kalah.

"Ada Ketua Umno Bahagian ada kuota tertentu untuk melantik lapan orang dari setiap bahagian untuk dijadikan ahli jawatankuasa di bahagian itu.

"Namun ia bergantung kepada pihak yang menang atau Ketua Umno Bahagian terbabit untuk buat pelantikan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2023 @ 5:44 PM