MOHD Puad. FOTO arkib NSTP
MOHD Puad. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein didakwa sebagai dalang yang menggerakkan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa tindakan bekas Naib Presiden Umno yang sering membelakangkan parti termasuk bertindak menyokong Perikatan Nasional (PN) dan isu SD itu membawa kepada keputusan parti menggantung beliau selama enam tahun.

"Dia (Hishammuddin) tidak serik membelakangkan parti. Bawa MP (Ahli Parlimen) Umno ke rumah (Datuk Seri) Azmin Ali.

"Suruh Ketua Bahagian Sabah masuk Bersatu. Penggerak utama MP BN tanda tangan SD sokong Muhyiddin adalah Hishammuddin," katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.

Hishammuddin, Naib Ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan, Ketua Umno Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan Ketua Umno Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang turut dilaporkan digantung keahliannya selama enam tahun.

Bekas Ketua Pemuda Umno yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Tan Sri Noh Omar pula dipecat keahliannya dari Umno malam tadi.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohamad yang juga Ketua Umno Bahagian Pontian serta bekas Menteri Besar Johor pula digugurkan daripada jawatannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor.

Tempat Hasni yang juga Adun Benut itu akan diambil alih Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi.

Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang dipengerusikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, malam tadi.

Mengulas tindakan MKT memecat Khairy Jamaluddin pula, Mohd Puad yang juga Ketua Umno Bahagian Batu Pahat mendakwa ia berikutan tindakan melampau bekas Menteri Kesihatan itu.

"Kenapa KJ dipecat. Khairy memang melampau. Memburukkan parti dan Presiden semasa kempen PRU amat keterlaluan. Fitnah pengundi hantu semasa Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 pula berniat jahat," katanya.

Dalam pada itu, Puad menasihati mereka yang dipecat agar membuat rayuan sekiranya benar cintakan parti.

"Dipecat amat menyakitkan tetapi keperluan. Kalau betul cintakan parti merayulah. Kalau tidak mahu merayu tunggulah enam tahun. Kecuali mereka sudah ada pilihan lain. Buatlah pilihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 3:07 PM