PAPAN tanda Sukan SEA KL2017 di Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
PAPAN tanda Sukan SEA KL2017 di Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
Siti A'isyah Sukaimi


MESYUARAT Jawatankuasa Tertinggi bersetuju mewujudkan Pasukan Petugas Khas Anti Keganasan Sukan SEA KL2017 sebagai langkah kawalan keselamatan sepanjang temasya sukan berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pasukan petugas khas itu akan diketuai oleh Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri/Ketenteraman Awam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Ketua Staff Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selaku timbalan.

"Peranan pasukan petugas khas ini adalah meningkatkan kerjasama dan koordinasi membabitkan pelbagai kementerian, jabatan dan agensi bagi memastikan penganjuran Sukan SEA KL2017 berjalan dengan lancar.

"Selain itu, pasukan ini memfokuskan kepada tiga komponen utama iaitu sebelum (pencegahan atau peningkatan kawalan keselamatan), semasa (pengurusan krisis) dan selepas (pemulihan)," katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi di Putrajaya, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan berharap dengan wujudnya pasukan itu, keyakinan rakyat dan peserta Sukan SEA KL2017 akan meningkat terhadap usaha serta tindakan keselamatan yang diambil secara tersusun bagi memastikan temasya berkenaan berjalan lancar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2017 @ 3:27 PM