Ahmad Zahid bersalaman dengan Mustakim Seri, 7, dari rumah anak-anak yatim Salimah, Kandis, Bachok di Program Penerapan Nilai-Nilai Murni Di Bulan Ramadan bersebelahan Masjid Mahmoodi, Pantai Irama, Bachok. FOTO Fathil Asri
Ahmad Zahid bersalaman dengan Mustakim Seri, 7, dari rumah anak-anak yatim Salimah, Kandis, Bachok di Program Penerapan Nilai-Nilai Murni Di Bulan Ramadan bersebelahan Masjid Mahmoodi, Pantai Irama, Bachok. FOTO Fathil Asri
Maiamalina Mohamed Amin


UNIT Anti Keganasan akan dinaiktaraf menjadi Bahagian Anti Keganasan Bukit Aman yang diketuai seorang pegawai kanan bagi mengekang aktiviti keganasan secara lebih serius.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, naik taraf itu akan dilaksanakan tidak lama lagi sebagai tanda kerajaan serius menolak sebarang bentuk keganasan di seluruh negara.

"Ini sebagai tanda keprihatinan bahawa kita tidak mahu (keganasan) dan rakyat menolak sebarang peristiwa keganasan," katanya pada Program Penerapan Nilai-Nilai Murni bersama Timbalan Perdana Menteri di Masjid Mahmoodi, Bachok, hari ini.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Ahmad Zahid berkata, ahli Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) akan dipanggil dalam masa terdekat untuk membincangkan cadangan menaik taraf unit itu.

"Dulu ada sebuah bahagian yang namanya Bahagian Anti Keganasan, namun empat tahun lalu ia sudah dijadikan Unit.

"Apabila kejadian keganasan yang terbaru berlaku di luar negara, kita merasakan perlu ada seorang pegawai kanan ditempatkan untuk melihat, bukan saja pendekatan holistik sebarang kejadian keganasan yang berlaku, tetapi lebih daripada itu," katanya.

Untuk itu katanya, keanggotaan pegawai dan anggota unit terbabit juga akan ditambah apabila dinaik taraf.

Beliau juga mahu semua pihak bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menghadapi keganasan dan berjuang bersama-sama termasuk pihak pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO).

Mengulas kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri berikutan penyandangnya Datuk Mat Yusof Abd Ghani muflis, Ahmad Zahid berkata, pimpinan tertinggi menyerahkan sepenuhnya kepada UMNO negeri untuk menentukan kedudukan bekas Ahli Dewan Negeri (ADUN) itu.

"Oleh kerana tiada sebarang pilihan raya kecil, kita reda. Terpulang kepada pimpinan negeri untuk putuskan kedudukan perkhidmatan Nenggiri untuk rakyat selepas ini," katanya.

Terdahulu, rombongan Ahmad Zahid berbuka puasa dengan kakitangan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan bersolat Maghrib di Masjid Mahmudi sebelum ke Masjid Al Sultan Ismail Petra di Kubang Kerian untuk solat Isyak dan Tarawih serta moreh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2017 @ 8:35 PM