Izzali Ismail


JUARA bertahan Kedah mahu melupakan episod kekalahan 2-3 kepada Perak, Sabtu lalu bagi memberi tumpuan kepada aksi menentang Melaka United dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah, malam esok.

Ketua Jurulatihnya Nidzam Adzha Yusoff berkata, beliau merencanakan strategi terbaik di sebalik ketiadaan beberapa pemain utama akibat kecederaan sekali gus berharap semua pemain tidak mensia-siakan kelebihan bermain di gelanggang sendiri.

Katanya, aspek utama ditekankan adalah memantapkan barisan pertahanan dan yakin pemain gantian mampu bangkit meneruskan misi memburu kemenangan pada perlawanan itu.

"Kerapuhan benteng pertahanan Kedah begitu jelas tanpa kehadiran Rizal Ghazali dan Zac Anderson serta kapten pasukan, Khairul Helmi Johari pada perlawanan tempoh hari.

"Justeru, kami perlu mencari kaedah terbaik untuk mengatasi masalah itu, memandangkan jadual perlawanan liga yang padat pada bulan ini.

"Dengan pemain gantian sedia ada... saya tetap yakin mereka mampu menggalas cabaran untuk melaksanakan tugas dengan berkesan pada perlawanan itu," katanya.

Katanya, Melaka United yang dibimbing jurulatih baru Eduardo Almeida yang menampilkan lapan muka baru termasuk tiga import iaitu Marko Simic, Felipe Almeida de Souza dan Jasmin Mecinovic pasti memberi saingan lebih sengit berbanding sebelum ini.

"Oleh itu kita harus lebih berwaspada walaupun rekod lalu memihak Kedah dengan keputusan 4-0 pada perlawanan pada Mac lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2017 @ 10:03 PM