YUSOFF (kiri) akui Melaka United akan lakukan rombakan besar-besaran untuk musim depan. -Foto fail
YUSOFF (kiri) akui Melaka United akan lakukan rombakan besar-besaran untuk musim depan. -Foto fail
Nazri Abu Bakar


SKUAD Melaka United (MU) bakal berbelanja lebih RM17 juta bagi menghadapi saingan liga Malaysia musim depan dalam usaha memantapkan lagi pasukan berkenaan.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka Uniited (MUSA), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, jumlah berkenaan membabitkan rombakan besar-besaran barisan pemain selain aspek pengurusan pasukan.

Menurutnya, jumlah itu mengatasi perbelanjaan musim ini yang menelan kos RM14 juta.

Beliau berkata, jumlah berkenaan adalah anggaran awal bajet pasukan mengikut perencanaan untuk memiliki pasukan yang lebih gah.

Katanya, MUSA kali ini akan lebih teliti dalam hal pemilihan dan pengambilan pemain dengan fokus memiliki pemain berkualiti.

“Kesilapan pada musim ini tidak akan diulangi dan kali ini kami hanya mengenal pasti bintang terbaik sahaja untuk disenaraikan.

“Tugas utama jurulatih pasukan Eduardo Almeida adalah menyenaraikan pemain yang menepati kehendak dan perancangannya dengan paling penting tidak menyenaraikan bintang ‘tempang’ seperti berlaku sebelum ini,” katanya.

Musim ini, MU turut menggugurkan jurulatihnya Eric Wiliams selain tiga pemain import pada jendela perpindahan Jun lalu akibat tidak serasi dan gagal menepati kehendak pasukan terbabit.

Mohd Yusoff berkata, Almeida diberi kepercayaan sekali lagi memilih pemain terbaik memandangkan rekodnya dalam memilih penyerang Croatia, Marco Simic, Felipe de Souza (Brazil) dan Jasmin Macenovic (Macedonia) menepati matlamat dengan membantu skuad terbabit kekal di Liga Super 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2017 @ 7:23 PM