NAJIB beramah mesra dengan orang ramai ketika berbuka puasa.
NAJIB beramah mesra dengan orang ramai ketika berbuka puasa.
Siti Fatimah Hassan


Putrajaya: Bajet 2018 yang dijangka dibentangkan 27 Oktober depan terus memberi tumpuan terhadap keperluan golongan berpendapatan rendah dan sederhana khususnya dalam pelaksanaan projek mesra rakyat, selain menekankan usaha menangani kenaikan kos sara hidup rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, bajet yang akan dirangka itu perlu memastikan tahap pendapatan serta kualiti hidup rakyat ditingkatkan menerusi penyediaan lebih banyak projek rumah mampu milik termasuk untuk penjawat awam.

Katanya, projek berteraskan rakyat adalah agenda utama kerajaan supaya semua golongan menerima limpahan manfaat daripada dasar ekonomi yang ada.

“Rakyat mesti mendapat manfaat daripada dasar ekonomi dan perlu pastikan tahap pendapatan mereka serta kualiti hidup juga meningkat. Sebab itu, projek rumah mampu milik termasuk kepada penjawat awam akan diberi keutamaan.

“Kita akan terus melaksanakan projek yang berteraskan rakyat, manakala pelancaran projek Transit Aliran Massa (MRT), projek sambungan jajaran Transit Aliran Ringan (LRT) serta transformasi berterusan terhadap pengangkutan bas dan teksi akan memberi jaminan kepada rakyat terhadap sistem pengangkutan yang cekap serta berkesan.

“Kita akan terus membangunkan polisi yang seimbang dan tidak ada sesiapa yang akan tercicir termasuk orang kurang upaya (OKU) dan masyarakat Orang Asli. Semua mesti mendapat manfaat daripada dasar ekonomi kerajaan,” katanya ketika berucap di Majlis Konsultasi Bajet 2018, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, Gabenor Bank Negara, Datuk Seri Muhammad Ibrahim dan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Tan Sri Ranjit Ajit Singh.

Majlis Konsultasi Bajet 2018 kali ini bertema Negaraku Membentuk Masa Depan.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, dalam menguruskan kos sara hidup rakyat kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengurangkan beban khususnya menerusi pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) serta projek eRezeki oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

“Menguruskan kos sara hidup adalah dalam memastikan kadar inflasi terutama harga makanan tidak meningkat. Selain itu, kerajaan melaksanakan inisiatif tambahan seperti projek eRezeki untuk membantu rakyat.

“Kos sara hidup bukan hanya harga barangan, tetapi juga memastikan rakyat tidak berbelanja lebih daripada kemampuan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2017 @ 8:51 AM