SEORANG pekerja kedai barangan elektrik menonton siaran langsung pembentangan RMK11 di ibu kota, semalam.
SEORANG pekerja kedai barangan elektrik menonton siaran langsung pembentangan RMK11 di ibu kota, semalam.
Oleh Hafiz Ithnin dan Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11), 2016-2020 akan memberikan lebih tumpuan kepada pembangunan ekonomi berteraskan rakyat yang menjadi tunjang penting dan keutamaan dalam semua usaha pembangunan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, pendekatan ini mengukuhkan lagi komitmen kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup, martabat dan potensi rakyat untuk memanfaatkan pembangunan dan kemajuan ekonomi.

Menurutnya, ekonomi berteraskan rakyat lebih berkisar kepada kepentingan rakyat termasuk peluang pekerjaan, perniagaan kecil, kos sara hidup, kesejahteraan keluarga dan penyertaan masyarakat.

“RMK11 yang berasaskan kepada Strategi Pembangunan Nasional Malaysia (MyNDS) akan fokus kepada penyampaian outcome berimpak tinggi yang cepat kepada ekonomi rakyat dan ekonomi modal dengan kos berpatutan,” katanya dipetik dalam Laporan RMK11 di sini, semalam.

Beliau berkata, semua lapisan masyarakat perlu mendapat faedah daripada kemakmuran ekonomi negara selaras dengan matlamat mencapai status negara maju dan inklusif menjelang 2020.

“Pada kali ini, sasaran pertumbuhan negara bukan saja diukur berdasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pendapatan per kapita, namun mengambil kira pendapatan isi rumah dan Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia bertujuan menilai impak pertumbuhan ekonomi terhadap kesejahteraan rakyat,” katanya.

Pelan pembangunan negara itu turut fokus kepada ekonomi berasaskan modal dengan pelaksanaan program dan projek berimpak tinggi boleh dilaksanakan dengan pantas serta kos rendah kepada kerajaan.

Ekonomi berasaskan modal merujuk kepada pertumbuhan KDNK, perniagaan besar, projek pelaburan besar dan pasaran kewangan.

Dalam perkembangan lain, produktiviti dan inovasi akan menjadi tonggak utama dalam RMK11 meskipun ia pernah diberi penekanan dalam rancangan pembangunan lalu kerana negara masih belum mencapai matlamat yang ditetapkan.

“Oleh itu, RMK11 akan membuat perubahan ketara ke arah mencapai peningkatan produktiviti dan inovasi dengan menggariskan strategi dan program khusus berteraskan kerberhasilan bagi meningkatkan produktiviti dan menjana kekayaan melalui inovasi,” katanya.

Pembangunan wilayah ekonomi terus menjadi pemboleh utama yang diunjurkan mampu menarik RM236 bilion serta menyediakan 470,000 peluang pekerjaan pada akhir tempoh RMK11.

Laporan RMK11 berkata, pembangunan koridor ekonomi wilayah akan ditingkatkan melalui kajian strategik bagi pelan induk pembangunan koridor, menggalakkan pelaburan, menambah baik infrastruktur serta membangunkan bakat dan kemahiran.

“Langkah ini bertujuan memastikan komuniti setempat terus mendapat manfaat daripada pelaburan dan hasil pertumbuhan ekonomi.

“Terdapat lima koridor ekonomi iaitu Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak, Koridor Pembangunan Sabah, Wilayah Ekonomi Koridor Utara dan Iskandar Malaysia yang kesemuanya mempunyai inisiatif utama sepanjang tempoh RMKe-11 berlangsung,” katanya.

Dari aspek pembangunan ekonomi wilayah, dalam tempoh 2011 sehingga 2014, lima koridor berkenaan berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM307 bilion dan menjana lebih 427,000 peluang pekerjaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2015 @ 6:39 AM