Pelaksanaan dasar Ekonomi MADANI bukan sahaja meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara, malah ia menunjukkan komitmen berterusan kerajaan mewujudkan masyarakat yang lebih saksama.

Matlamat ini juga mampu dicapai dengan rancangan jangka pendek dan panjang dilaksanakan kerajaan untuk menarik pelaburan dan menangani keperluan rakyat.

Ikuti pandangan Ketua Ekonomi CGS-CIMB Securities, Nazmi Idrus berhubung usaha dilaksanakan kerajaan dalam Merentas Halangan Defisit Fiskal: Ekonomi Madani Menuju Kelestarian Malaysia.

S: Boleh anda terangkan apakah yang dimaksudkan dengan defisit fiskal? Apakah kaitan antara defisit fiskal dan hutang negara?

J: Defisit fiskal adalah keadaan di mana perbelanjaan negara melebihi kutipan hasil untuk tempoh tertentu yang biasanya dalam tempoh setahun. Sementara itu, hutang negara ialah jumlah terkumpul pinjaman untuk membayar defisit. Secara ringkasnya, defisit fiskal adalah kadar hutang terkumpul dan hutang negara ialah jumlah keseluruhan yang tertunggak.

S: Sebagai sebuah negara membangun, apakah Malaysia masih boleh menambah hutang bagi menampung perbelanjaan kerajaan?

J: Sebaik-baiknya defisit fiskal perlu dikurangkansupaya tahap hutang negara menurun. Berdasarkan pengiraan kerajaan, apabila defisit berkurang ke bawah 3% daripada keluaran negara, hutang negara akan berkurang. Kadar defisit fiskal pada 2023 dianggarkan kepada 5%.

S: Bagaimana analisis CGS-CIMB Securities menilai impak jangka pendek dan panjang terhadap kestabilan ekonomi negara dengan pelaksanaan 'Ekonomi MADANI'?

J: Pelaksanaan dasar Ekonomi MADANI bukan sahaja meningkatkan pertumbuhan ekonomi, malah berusaha untuk mewujudkan masyarakat yang lebih saksama. Matlamat ini boleh dicapai dengan melihat rancangan untuk menarik pelaburan sektor swasta dan usaha menangani isu gaji rendah.

Dalam jangka pendek, beberapa perubahan ini membantu mereka untuk menyesuaikan diri dengan dasar baharu yang berpotensi mewujudkan persekitaran baharu.

Bagaimanapun, untuk jangka panjang, saya percaya perubahan dasar akan memberi manfaat kepada kita semua.

Matlamat akhir Ekonomi MADANI adalah untuk mewujudkan lebih ramai golongan kelas pertengahan yang memiliki kuasa beli yang kukuh sebagai asas untuk Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi.

S: Subsidi dikatakan mengambil perkongsian yang besar dalam Belanjawan Malaysia pada setiap tahun. Berapakah jumlah yang diperuntukkan untuk subsidi dan secara relatifnya, berapakah peratus peruntukan subsidi dalam Belanjawan 2023?

J: Berdasarkan laporan Bajet 2023, subsidi berjumlah RM58.6 bilion iaitu kira-kira 1/5 daripada jumlah perbelanjaan mengurus. Ini lebih rendah berbanding 2022 iaitu RM67.4 bilion. Bagaimanapun, jumlah ini dilihat masih sangat tinggi jika dibandingkan dengan purata kadar subsidi tahun-tahun sebelumnya iaitu sekitar RM20 bilion.

S: Kerajaan sudah memberi bayangan mengenai anjakan kepada kaedah subsidi bersasar. Adakah ini adil dan mengapa ia perlu dilakukan?

J: Subsidi yang diberikan kerajaan terlalu besar, contohnya pemberian subsidi bahan api RON95 diberikan kepada semua tanpa had.

Ini menimbulkan masalah terhadap keupayaan kerajaan untuk mengekalkannya dalam jangka masa panjang terutama apabila harga pasaran meningkat dengan ketara berbanding harga subsidi.

Sebagai contoh, dengan harga minyak global semasa pada USD95 setong, pengiraan kami menunjukkan bahawa harga bahan api sepatutnya RM3.20 seliter.

Namun, kerajaan menetapkan harga minyak RM2.05 dengan memberi subsidi RM1.15 untuk setiap liter. Sebaik-baiknya, subsidi perlu digunakan untuk membetulkan herotan pasaran tetapi saya fikir kita berada pada tahap di mana kerosakan melebihi manfaat.

Kami melihat subsidi menyebabkan tingkah laku pembaziran, memburukkan alam sekitar dan menghalang inovasi.

Penghapusan subsidi perlu dilaksanakan secara beransur-ansur kerana golongan berpendapatan rendah yang paling terkesan. Saya fikir langkah kerajaan ke arah subsidi bersasar adalah cara yang paling sesuai.

S: Apakah yang kerajaan boleh lakukan dengan penjimatan daripada subsidi ini, jika benar ia beralih kepada kaedah subsidi bersasar?

J: Penjimatan daripada merasionalkan subsidi harus disalurkan kepada projek yang memberi pulangan ekonomi yang lebih besar. Bayangkan jumlah subsidi tahun ini sebanyak RM58.6 bilion adalah lebih tinggi daripada gabungan kos pembinaan MRT1 dan MRT2. Jumlah ini bukan sahaja membebankan kerajaan, malah menghilangkan peluang untuk melaksanakan projek lain yang lebih bermanfaat.

S: Adakah kesihatan fiskal ini juga boleh mendorong pelaburan untuk masuk ke Malaysia? Jika tidak, apakah langkah atau dasar yang perlu kerajaan lakukan untuk menarik minat pelabur?

J: Ya, tetapi secara tidak langsung. Kadar hutang negara yang lebih mampan memberi keyakinan kepada pelabur bahawa kerajaan mempunyai keupayaan untuk mengawal ekonomi. Pada pendapat kami, rancangan yang diumumkan baru-baru ini seperti Ekonomi MADANI dapat memberi gambaran yang lebih jelas mengenai dasar ekonomi kerajaan dalam jangka masa sederhana. Apa yang penting sekarang ialah pelaksanaan dasar-dasar ini membuahkan hasil.

S: Apakah Pelan Induk Perindustrian Baru 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Negara dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 itu memadai buat masa sekarang?

J: Tujuan rancangan ini adalah untuk menyediakan panduan dasar am untuk kerajaan dalam merumuskan insentif dan langkah sokongan yang betul ke hadapan.

Pelan itu juga menjadi titik rujukan kepada pelabur untuk mereka mempunyai pandangan yang lebih jelas mengenai hala tuju ekonomi ke hadapan.

Apa yang penting sekarang ialah dasar yang boleh diambil tindakan untuk dilaksanakan. Jadi, Bajet 2024 yang dibentangkan di Parlimen pada 13 Oktober ini patut diberi perhatian.

S: Apakah pandangan CGS-CIMB Securities dengan pengenalan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) seperti yang dibincangkan dewasa ini? Apakah rakyat boleh 'menghadam' cukai penggunaan ini semula tanpa menambah kepada beban kos sara hidup mereka?

J: Kami menyokong langkah untuk memperkenalkan semula GST kerana ia boleh menyelesaikan banyak masalah di Malaysia.

Cukai membolehkan sumber hasil yang lebih pelbagai untuk kerajaan dan mengurangkan kebergantungan keuntungan daripada minyak dan gas.

Apatah lagi, hasil yang lebih tinggi membolehkan pembayaran balik hutang dan meningkatkan metrik fiskal. Bagaimanapun, kemungkinan besar ia boleh memberi kesan negatif terhadap kos sara hidup penduduk umum.

Oleh itu, adalah penting bagi kerajaan untuk mengimbangi perkara itu . Beberapa bentuk sokongan pendapatan perlu diberikan terutama kepada golongan berpendapatan rendah.

Yang pertama adalah mengenai ekonomi. Bahagian kedua adalah mengenai aspek sosial melalui kesaksamaan, perlindungan sosial dan mobiliti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2023 @ 8:00 AM