Hafidzul Hilmi Mohd Noor melaporkan dari Cox's Bazar dan Bangladesh


ALUNAN bacaan ayat suci al-Quran kedengaran jelas di Madrasah Al Islamia Eja Atul di Kem Pelarian Rohingya di Kutupalong , Cox's Bazar tatkala melalui kawasan itu.

Hati menjadi tenang, jiwa penulis semakin hiba sebaik melihat sekumpulan anak-anak kecil duduk bersila dalam bentuk bulatan khusyuk mengulangi ayat demi ayat dan surah demi surah untuk menghafalnya.

Madrasah yang berbumbungkan atap plastik itu dipenuhi kira-kira 30 kanak-kanak berusia seawal lima tahun yang masing-masing memegang al-Quran dan tidak berhenti membacanya. Sambil diperhatikan empat guru agama yang memegang rotan dan mengelilingi kanak-kanak berkenaan, kesungguhan anak kecil itu mendalami ilmu agama membuatkan penulis berasa kagum.

Penulis dimaklumkan 15 daripada mereka sudahpun berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran seawal usia sembilan tahun.

Ternyata kedaifan tidak mematahkan semangat malah menjadikan mereka lebih dekat dengan ilmu agama dan al-Quran.

Segalanya dilakukan secara sukarela tanpa sebarang paksaan atau suruhan daripada keluarga, malah kanak-kanak yang hanya memakai kemeja-T lusuh terlebih dulu menunaikan solat secara berjemaah di madrasah berkenaan.

Apa yang berlaku di kem pelarian ini benar-benar menginsafkan dan mampu memberikan 1,001 pengajaran buat semua.

Seorang tenaga pengajar di madrasah berkenaan, Ustaz Sheik Al-Alamah Wali Ahmad berkata, walaupun berada di dalam keadaan pelarian, hak untuk belajar bagi kanak-kanak itu tidak boleh dinafikan

"Kanak-kanak seawal usia lima tahun di kem ini diajar untuk menghafal al-Quran dan mereka sangat meminatinya selain menjadikan itu adalah aktiviti untuk mengisi masa terluang.

"Kanak-kanak ini akan membaca surah yang akan ditetapkan oleh tenaga pengajar berulang kali setiap pagi (selepas Subuh), Zuhur dan selepas solat Maghrib secara beramai-ramai.,"katanya kepada penterjemah Nabil Amin.

Sheikh Al-Alamah berkata, kanak-kanak pelarian di Kem Kutupalong itu juga amat bersemangat untuk menimba ilmu agama dan madrasah berkenaan sentiasa penuh setiap hari.

"Mereka amat berdisiplin, setiap masa yang ditetapkan mereka akan hadir tepat pada masa walaupun dalam kedaifan apatah lagi selepas dilanda taufan.

"Kebanyakan berang seperti al-Quran dan kitab agama adalah hasil wakaf daripada masyarakat luar kepada kem berkenaan,"katanya.

Sheikh Al-Alamah ditemui ditemui wartawan Harian Metro yang mengikuti rombongan bersama badan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan EZ Qurban Sdn Bhd pada program Prihatin Ummah Ramadan.

Ketua Misi EZ Qurban Sdn Bhd Muhammad Amir Zahari berkata, kunjungan ke kem berkenaan pada mulanya adalah untuk menyampaikan sumbangan.

"Namun pihak berkuasa disini melarang untuk mengagihkan sumbangan berkenaan kerana bantuan berkenaan perlu disalurkan kepada pihak tertentu bagi mengelakkan perebutan berlaku.

"Pelarian di sini sangat ramai, kami bimbang jika bantuan disalurkan di kem, kejadian tidak diingini akan berlaku,"katanya.

Sementara itu, 2,000 penduduk di dua kampung pedalaman di wilayah Chittagong, Bangladesh menerima sumber air bersih apabila 273 perigi wakaf hasil sumbangan rakyat Malaysia siap dibina.

Sumbangan dilakukan menerusi badan bukan kerajaan (NGO) EZ Qurban Sdn Bhd itu dilakukan secara berperingkat sejak 2016 membabitkan kos bernilai RM278,400.

Ketua Misi EZ Qurban Sdn Bhd Muhammad Amir Zahari berkata, penduduk di dua kampung iaitu Kampung Bhujpur Timur dan Kampung Bhujpur Barat sebelum ini bergantung dari kolam tadahan yang amat kotor dan berisiko tinggi untuk ditimpa penyakit.

Menurutnya, pihaknya akan mengagihkan 191 perigi bernilai RM600 setiap satu di kawasan berkenaan sebagai tambahan terhadap perigi sedia ada.

"Perigi ini di pasang di kawasan masjid, surau dan sekolah bagi memberikan sumber air bersih kepada penduduk terutama kanak-kanak di kawasan pedalaman.

"Untuk bantuan perigi kita akan lihat pada keperluan jika ia perlu ditambah. Jika mencukupi bantuan dalam bentuk lain pula akan disumbangkan,"katanya.

Muhammad Amir berkata, pihaknya juga menyediakan sebanyak 44 perigi di tiga kem pelarian Rohingya di Cox's Bazar bernilai RM44,000.

"Pembinaan perigi ini boleh memanfaatkan seramai 25,000 etnik Rohingya di kem berkenaan.

"Pelarian kini boleh menikmati sumber air bersih di dalam kem pelarian berkenaan,"katanya.

Katanya, rakyat Malaysia yang mahu menghulurkan bantuan boleh menyumbang ke akaun Maybank 5624 0550 5189 / CIMB 8602 9372 25 dan Bank Islam 1211 3010 0292 76 atas nama EZ Qurban Sdn Bhd.

Maklumat lanjut juga boleh hubungi talian 03-61861911 atau melayari laman web www.ezqurban.org.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2017 @ 11:17 PM
 Muhammad Amir Zahari, 25, (tengah) merasai sendiri air bersih dari sumber perigi sambil diperhatikan Pengetua (Mudir), Mohd Arshad Ullah, 36, (kanan) di Madrasah Abu Hurairah, East Bhujpur, Chittagong, Bangladesh. FOTO Rasul Azli Samad
Muhammad Amir Zahari, 25, (tengah) merasai sendiri air bersih dari sumber perigi sambil diperhatikan Pengetua (Mudir), Mohd Arshad Ullah, 36, (kanan) di Madrasah Abu Hurairah, East Bhujpur, Chittagong, Bangladesh. FOTO Rasul Azli Samad