SEORANG kanak-kanak tertidur di atas jalan ketika menunggu mendaftar sebagai pelarian di Berlin.
SEORANG kanak-kanak tertidur di atas jalan ketika menunggu mendaftar sebagai pelarian di Berlin.
Agensi

Zagreb (Croatia): Doktor kini mula merawat pelarian kanak-kanak kerana bimbang kesihatan mereka dalam keadaan cuaca semakin menurun.

Sekumpulan pelarian baru memasuki Croatia lewat kelmarin (waktu tempatan) selepas melintas sempadan berhampiran perkampungan Bapska.

Dr Vladimir Bozic dari Doktor Tanpa Sempadan berkata, dia melihat ramai kanak-kanak yang masih terlalu kecil.

“Saya melihat seorang bayi berusia sebulan, malah ada juga yang baru berumur 15 hari,” katanya.

Sukarelawan dari agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilihat mengedarkan selimut tebal, minuman serta air panas kepada pelarian yang mencari kehidupan baru di Eropah.

Sementara itu, di Calden, Jerman, puluhan polis dipanggil mengawal keadaan selepas rusuhan berlaku ketika pelarian pelbagai kerakyatan berebut makanan di sebuah kem pelarian.

Gas pemedih mata terpaksa digunakan untuk meleraikan pergaduhan membabitkan 400 pelarian. Seramai 60 termasuk polis dilaporkan cedera.

Kejadian lewat Ahad itu berlaku pada hari sama kesatuan polis terbesar Jerman mendesak sistem baru diperkenalkan di pusat pelarian, iaitu untuk mengasingkan golongan itu mengikut agama mereka.

Ini berikutan dakwaan berlaku perbalahan antara kumpulan Kristian dan Islam di kem pelarian.

Ogos lalu, di Suhl, rusuhan tercetus yang melihat 17 orang cedera selepas beberapa naskhah al-Quran dirosakkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2015 @ 6:00 AM