Pelajar bersama seorang tenaga pengajar Madrasah Al Quran Quratul Ain Lilbanat di Kota Sultan Ahmad Shah (KOTASAS), Kuantan.  Foto - MOHD RAFI MAMAT
Pelajar bersama seorang tenaga pengajar Madrasah Al Quran Quratul Ain Lilbanat di Kota Sultan Ahmad Shah (KOTASAS), Kuantan. Foto - MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


TIADA pengalaman dalam bidang pendidikan agama bukan penghalang kepada Sohaini Abdul Rahman, untuk membuka Madrasah Al Quran Quratul Ain Lilbanat di taman Kota Sultan Ahmad Shah (SAS), di Kuantan.

Sohaini 47, berkata, selepas tiga tahun beroperasi, pusat pengajian agama moden yang dikhaskan untuk pelajar wanita berusia dari 10 hingga 17 tahun itu mempunyai 19 pelajar dan empat tenaga pengajar.

Beliau berkata, matlamat penubuhan madrasah itu bagi memberi peluang kepada generasi muda belajar mendalami ilmu agama selain terbabit dengan

hafazan al-Quran.

Untuk itu, beliau berkata, dua unit rumah dalam kawasan taman perumahan Kota SAS, disewa sebagai kelas dan asrama bagi keselesaan pelajarnya.

“Walaupun saya tidak mempunyai latar belakang bidang perguruan dan pendidikan agama, namun ia bukan penghalang untuk menyediakan tempat bagi kanak-kanak dan remaja wanita mendalami ilmu.

“Selain pendidikan agama dan hafazan al-Quran pelajar juga didedahkan pelbagai program seperti kem motivasi, kelas fardu ain, hadis dan aktiviti riadah selain membantu menguruskan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Ini amal jariah yang dapat saya berikan kepada generasi muda yang ingin berjaya sebagai hafazan, usaha menjadikan madrasah ini sebagai gedung ilmu diharap menjadi kenyataan,” katanya, di sini, hari ini.

Pelajar tekun menghafaz al-Quran di Madrasah Al Quran Quratul Ain Lilbanat di Kota Sultan Ahmad Shah (KOTASAS), Kuantan. Foto - MOHD RAFI MAMAT
Pelajar tekun menghafaz al-Quran di Madrasah Al Quran Quratul Ain Lilbanat di Kota Sultan Ahmad Shah (KOTASAS), Kuantan. Foto - MOHD RAFI MAMAT

Ibu kepada lima anak itu juga berkata, peruntukan RM8,000 sebulan disediakan bagi menguruskan Madrasah Al Quran Quratul Ain Lilbanat membabitkan sewa rumah, gaji pengajar, makanan, bil elektrik dan air.

Sohaini berkata, keselesaan pelajar menjadi keutamaan pihak pengurusan bagi memastikan mereka dapat belajar dan menghafaz al-Quran dalam suasana seronok dan memuaskan seperti yang dijanjikan.

“Saya bersyukur dengan usaha gigih pelajar dibantu empat ustazah semua pelajar kini berjaya menghafaz antara tiga hingga 15 juzuk ayat al-Quran bergantung kepada tempuh mereka belajar di sini.

“Saya mensasarkan lebih 30 pelajar dapat belajar di madrasah ini tahun hadapan dan beberapa pelajar kemasukan pertama berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran.

“Usaha ini tidak akan berjaya tanpa bantuan dan sumbangan kewangan masyarakat, justeru saya mempelawa pihak yang berminat untuk menderma,” katanya yang menerima pelbagai sumbangan daripada orang perseorangan dan syarikat korporat setiap bulan.

Sementara itu, pelajar Fatin Qasrina Jamalisham, 14, berkata, selepas dua tahun belajar di Madrasah Al Quran Quratul Ain Lilbanat, dia kini berjaya menghafaz sembilan juzuk al Quran selain berpeluang mendalami ilmu agama.

“Saya bersyukur impian menjadi hafazan kitab suci kini hampir menjadi kenyataan, sistem belajar selama enam jam yang diamalkan di madrasah ini berjaya melahirkan pelajar yang berjaya.

“Saya seronok belajar di sini yang menyediakan pelbagai kemudahan, asrama dan makanan disediakan sama seperti tinggal di rumah bersama keluarga,” katanya yang berasal di Kampung Sungai Karang, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 1:10 PM