DELEGASI MAPIM meninjau sebuah sekolah di Mrauk-U.
DELEGASI MAPIM meninjau sebuah sekolah di Mrauk-U.
SEORANG warga emas membaca al-Quran.
SEORANG warga emas membaca al-Quran.
PENDUDUK kampung belajar membaca al-Quran.
PENDUDUK kampung belajar membaca al-Quran.
PENDUDUK kampung belajar membaca al-Quran.
PENDUDUK kampung belajar membaca al-Quran.
KANAK-KANAK di hadapan sebuah madrasah.
KANAK-KANAK di hadapan sebuah madrasah.
Yusmizal Dolah Aling


Di sekeliling Kampung Perling dan Kampung Shan Taung di Mrauk-U, Myanmar, kelihatan seolah-olah tiada masa depan kerana dihimpit krisis kemanusiaan yang semakin parah.

Ketinggalan terlalu jauh di belakang kerana tiada kemudahan asas seperti air dan elektrik, sementara hak mendapat pendidikan seolah-olah dinafikan hingga tiada apa lagi yang boleh diharapkan selain berdoa agar segala-galanya berubah.

Namun, ketaatan pada agama masih menjadi pegangan kuat penduduk Islam di kedua-dua kampung itu yang segar dengan alunan bacaan ayat suci al-Quran termasuk madrasah dan sekolah kelolaan pertubuhan antarabangsa.

Menggunakan naskhah al-Quran yang sudah lusuh, mereka tetap tekun menyelak helaian kitab suci itu dan membacanya setiap hari sambil dibantu ustaz yang kebanyakannya bekerja secara sukarela, hanya untuk memastikan Islam terus bersinar di bumi Myanmar.

Ketika kunjungan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) baru-baru ini, delegasi tersentuh dengan kelas pengajian di sebuah madrasah di Mrauk-U, kerana dalam keadaan sedang ditindas dan dinafikan hak sebagai rakyat, mereka tetap berpegang kepada akidah Islam.

Bagi Mohammad Salim, 28, sejak bertahun dulu, mereka sudah tiada harapan untuk mengimpikan kehidupan lebih baik daripada yang sedia ada, namun ia bukan alasan meninggalkan ajaran agama.

Setiap hari, kanak-kanak diajar membaca al-Quran menggunakan naskhah yang disumbangkan masyarakat antarabangsa di madrasah yang berlantaikan tanah dan berbumbungkan atap nipah.

Dengan dibantu beberapa tenaga pengajar, ia adalah satu-satunya kesinambungan Islam di wilayah bergolak sekitar Rakhine ketika beberapa masjid, sekolah dan komuniti umat Islam dimusnahkan pelampau agama sejak krisis melanda.

Mohammad Salim berkata, penduduk di sekitar Sittwe lebih rela tidak berbaju kerana daif, namun tidak akan sama sekali menggadaikan agama Islam dan akan terus berusaha memartabatkan agama biarpun diasak dengan apa cara sekali pun.

Dengan mengharapkan hanya makan sekali sehari, mereka tetap berusaha memberikan pendidikan Islam menerusi pengajian al-Quran kepada kanak-kanak tanpa peduli sebarang upah.

Rata-rata madrasah di Sittwe dibangunkan dengan sumbangan organisasi Islam antarabangsa yang tidak putus menghantar bantuan sama ada dalam bentuk kewangan serta peralatan, malah ada yang membina pusat pengajian madrasah di kampung-kampung untuk memastikan mereka mendapat ilmu agama.

Sekali imbas, aktiviti pengajian agama sama ada di kem penempatan mahupun kampung yang menempatkan pelarian Rohingya begitu lancar, seolah-olah tiada apa yang berlaku kepada etnik itu.

Bagi yang tiada peluang ke madrasah, mereka akan mengambil ruang untuk bersama kanak-kanak membaca al-Quran, bersolat jemaah dan berzikir di surau serba daif, muat untuk 30 orang, terutama kem penempatan sementara.

Jelas sekali rasa cinta kepada agama begitu menebal tatkala mereka diuji krisis tiada kesudahan yang menjadi perdebatan masyarakat dunia selepas krisis berulang pada 9 Oktober tahun lalu.

Usaha pertubuhan antarabangsa masuk untuk menghantar bantuan termasuk al-Quran, memungkinkan mereka dapat meneruskan ibadat biarpun di sesetengah tempat, bekalan makanan begitu diperlukan.

Keadaan sama melingkari penduduk di sekitar Sittwe dan Maungdaw yang bergelut untuk melakukan ibadat sedangkan al-Quran yang menjadi pedoman umat Islam dibakar ketika krisis.

Mereka menggunakan apa yang ada untuk terus beribadat, naskhah yang dibakar diganti baru hasil sumbangan saudara seagama dari pelbagai negara di dunia.

Kepada mereka, doa dan tanggungjawab sebagai Muslim bukanlah satu pilihan, tetapi tanggungjawab yang tiada galang gantinya biarpun berdepan dengan risiko kehilangan nyawa sekali pun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2017 @ 10:59 AM