USTAZ al- Hafiz Hashim
USTAZ al- Hafiz Hashim
USTAZ al- Hafiz Hashim
USTAZ al- Hafiz Hashim
Nor Faizah Mohamed

Kala isu pelarian Myanmar dan Rohingya hangat diperkatakan di media tempatan serta antarabangsa, terdetik hati untuk bertemu figura ini.

Menerusi pembacaan dan perkenalan ringkas ketika majlis berbuka puasa bersama kanak-kanak pelarian Myanmar Muslim di sebuah hotel di ibu negara beberapa bulan lalu, banyak kisah menarik boleh dicungkil daripadanya.

Bagi Ustaz al-Hafiz Hashim Kassim, tiada lebih menggembirakannya selain melihat kanak-kanak pelarian itu serba cukup dari segi ilmu agama dan dunia.

Penubuhan Madrasah Hashimiah, sekolah komuniti dan asrama yang menempatkan anak yatim serta miskin daripada pelarian Myanmar Muslim serta Rohingya, membuka harapan supaya masa depan mereka lebih terbela.

Ikuti cerita lanjut mengenai perihal dirinya ketika berpeluang menemuinya di Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

SOALAN (S): Boleh ceritakan sedikit mengenai latar belakang ustaz?

JAWAPAN (J): Saya dilahirkan pada 16 Januari 1970 di Mawlamyine, Myanmar. Saya lahir dalam keluarga seramai lima beradik, tiga lelaki dan dua perempuan.

Ibu saya suri rumah sementara bapa imam masjid di daerah kami. Hanya saya dan adik lelaki yang berada di Malaysia manakala ahli keluarga lain menetap di Mawlamyine.

Saya mendapat pendidikan rendah di sekolah kerajaan pada sebelah pagi dan petangnya ke sekolah pondok untuk pendidikan Islam.

Pada usia lima tahun saya sudah boleh membaca al-Quran dengan lancar, hasil didikan sejam setiap hari oleh bapa.

Ketika berusia 14 tahun, saya mampu menghafaz al-Quran dan disebabkan itu saya dihantar ke madrasah tahfiz untuk pendidikan menengah.

Jarak dari rumah ke madrasah tahfiz agak jauh, mengambil masa satu malam kerana tiada kekerapan pengangkutan awam. Saya cuma berpeluang pulang ke rumah berjumpa keluarga setahun sekali iaitu ketika Ramadan hingga Syawal.

Saya mendapat sijil tahfiz ketika berusia 17 tahun dan dua tahun selepas itu ke Bangkok, Thailand untuk mencari peluang pekerjaan yang lebih baik.

S: Dengan sijil dan kelayakan tahfiz yang diperoleh, mengapa ustaz tidak meneruskan karier dalam bidang berkaitan?

J: Keluarga saya boleh dikategorikan miskin walaupun bapa saya imam besar di kawasan kami. Agama Islam bukanlah agama rasmi di sana, seperti Malaysia, jadi tidak banyak peluang pekerjaan berkaitan bidang ini yang boleh kami terokai.

Kami sekeluarga hidup bagaikan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Setiap hari saya lihat ibu ke pasar untuk membeli setin beras yang saiznya sebesar tin susu sejat, satu atau dua jenis sayuran yang murah dan beberapa biji telur untuk hidangan kami sekeluarga.

Di sana, beras dijual dalam timbangan satu tin dan bukannya mengikut kilogram seperti di Malaysia. Jumlah perbelanjaan keseluruhan setiap hari dalam lingkungan RM5.

Jadi bayangkan bagaimana bebanan bapa saya untuk menyuap tujuh mulut dan memastikan kami sekeluarga mendapat makanan yang baik setiap hari.

Hasrat ingin menyambung pengajian terpaksa dibatalkan selepas pusat pengajian agama kami ditutup kerana rusuhan ketika kebangkitan Aung San Suu Kyi pada 1988.

Disebabkan itulah saya nekad meninggalkan Myanmar dan berkelana ke Suphan Buri, Thailand demi membantu keluarga.

Di Bangkok, saya banyak berniaga antaranya makanan ringan dengan menggunakan motosikal sewa. Saya kemudian menjual roti garing manis yang popular di sana.

Sepanjang tiga tahun di Thailand, saya juga pernah bekerja di kilang membuat makanan ringan. Selepas setahun bekerja di kilang itu, saya dinaikkan pangkat sebagai penyelia.

Saya sedikit gelap mata dengan wang dan pangkat itu. Saya mula menyertai kumpulan kongsi gelap dan banyak mengikuti mereka melakukan aktiviti tidak bermoral.

Selepas menghantar separuh wang gaji kepada keluarga, selebihnya saya habiskan di pesta dan festival hiburan hujung minggu.

Tetapi syukur saya tidak hanyut terlalu lama. Seorang demi seorang rakan mati di depan mata. Malam pergi ke kelab bersama-sama, esok paginya mati di depan mata sama ada disebabkan mabuk atau ditembak oleh ahli kongsi gelap lain. Perkara itu amat menginsafkan saya dan saya mula merenung mengenai diri sendiri.

Saya kembali kepada Islam dan mula mencari jalan keluar dari situ. Saya diberitahu ada agensi pekerjaan yang memerlukan pekerja untuk dibawa ke Malaysia dan saya gunakan wang simpanan yang ada bagi menyertai agensi itu.

Saya dan beberapa lelaki kemudian tiba di Selayang, Selangor dan kami diberi kerja sebagai penolak sayur di pasar borong.

Bagaimanapun, selepas bekerja selama beberapa tahun di sana, baru tahu rupa-rupanya status saya iaitu sebagai pelarian. Jadi saya segera mendapatkan pengesahan UNHCR (Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian) dan diberi kad UNHCR.

S: Bagaimana pula kisahnya mengenai penubuhan Madrasah Hashimiah ini?

J: Ketika masih bekerja di pasar borong itu, saya lihat ada beberapa kanak-kanak Myanmar Muslim yang kurang pendidikan asas apatah lagi pendidikan agama.

Saya tergerak hati ingin membantu mereka. Allah membuka peluang untuk saya membimbing apabila ibu bapa kanak-kanak terbabit yang meminta saya mengajar anak mereka mengaji al-Quran dan sebagainya.

Disebabkan saya mempunyai jadual kerja, saya cuma dapat mengajar mereka Iqra dan al-Quran pada waktu pagi selepas saya pulang dari pasar.

Daripada dua kanak-kanak, pelajar saya kemudiannya bertambah sehingga lima dan kurang setahun selepas itu saya mengajar seramai 15 kanak-kanak.

Disebabkan jumlah yang ramai, saya bahagikan dua masa iaitu pagi dan malam. Semua kelas berlangsung selepas saya balik dari pasar.

Lama-kelamaan makin ramai pula pelajar sehingga lebih 30 orang. Selama ini kelas agama cuma diadakan di bilik sewa di atas rumah kedai berhampiran pasar. Bilik sewa itu tak lagi dapat menampung jumlah pelajar yang ramai.

Saya berfikir panjang sebelum akhirnya berhenti kerja untuk beri tumpuan kepada kelas agama ini. Dengan duit simpanan yang ada, saya sewa bilik yang lebih besar dan pelajar saya ketika itu rata-rata berusia tujuh hingga 14 tahun.

Untuk menampung kos perbelanjaan harian, saya berniaga kecil-kecilan di kawasan berhampiran bilik sewa baru itu.

Pada 2001, saya mampu menggajikan seorang guru bagi membantu menguruskan Madrasah Hashimiah ini. Tiga tahun selepas itu jumlah pelajar meningkat kepada hampir 100 orang dengan penambahan tiga guru.

Pada masa sama, saya cuba tarik perhatian UNHCR mengenai isu kanak-kanak pelarian dan mereka membantu saya secara memperkenalkan Madrasah Hashimiah ini dengan beberapa NGO (pertubuhan bukan kerajaan) terutama dari luar negara.

Syukur Alhamdulillah, Kindness Dot My menawarkan diri untuk turut serta dalam perkembangan Madrasah Hashimiah ini. Menerusi bantuan mereka, kami kini mempunyai pejabat untuk urusan rasmi.

Kindness Dot My juga menguruskan laman web Madrasah Hashimiah supaya masyarakat boleh mendapatkan maklumat mengenai madrasah ini. Mereka tidak ketinggalan memperkenalkan kami menerusi media sosial khususnya Facebook.

S: Apa harapan atau perancangan masa depan anda untuk Madrasah Hashimiah ini?

J: Ia bermula dari sebuah bilik sewa kecil dan beralih ke bilik sewa yang lebih besar. Pernah pada satu tahap saya terpaksa menggadaikan barangan kemas isteri untuk digunakan bagi mendapatkan ruang sewa yang lebih besar dan selesa untuk madrasah ini.

Kini Madrasah Hashimiah beroperasi di bangunan tiga tingkat dan kami menduduki hampir keseluruhan bangunan.

Mengikut rekod pendaftaran terkini, kami mempunyai 180 pelajar berusia empat hingga 16 tahun. Sebahagiannya menetap di asrama madrasah.

Antara subjek yang diajar di sini adalah hafazan al-Quran, Iqra, Bahasa Malaysia, Bahasa Myanmar, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan kelas komputer.

Kanak-kanak pelarian ini sebenarnya sama saja seperti kanak-kanak lain, cuma mereka tidak berpeluang untuk ke sekolah dan melanjutkan pelajaran.

Madrasah Hashimiah ini diwujudkan asalnya untuk membantu mereka mendalami ilmu agama Islam tapi atas kepesatan dunia, mereka juga perlu dibekalkan dengan ilmu lain.

Sistem pendidikan di madrasah ini hampir sama seperti sekolah biasa. Mereka perlu menduduki peperiksaan dan diberi sijil selepas itu.

Walaupun pelajar ini tidak boleh bersekolah dan bekerja kerana tiada kerakyatan, sekurang-kurangnya bantuan ilmu yang diperoleh di madrasah ini membolehkan mereka menjalani kehidupan seperti individu normal.

Sekurang-kurangnya mereka mempunyai kemahiran dalam bidang bahasa, komputer dan sebagainya. Kami kini dalam proses menambah kelas jahitan untuk pelajar perempuan, dengan harapan dapat menambah kemahiran mereka di bidang itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2017 @ 11:09 AM