Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Datuk Dr Abd Latif Mohmod yang juga penerima Anugerah Saintis Penyelidikan Terbaik Malaysia (TRSM) dilantik felo Akademi Sains Malaysia (ASM) yang baru.

Dr Abd Latif mendapat pengiktirafan itu sempena Majlis Penganugerahan Felo 2014 dan Pengumuman Anugerah Saintis Penyelidikan Terbaik Malaysia 2014 dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini.

Beliau dipilih hasil kepakarannya dalam produk pemprosesan, peng­gunaan produk hutan bukan kayu (buluh, rotan, palma).

Beliau bersama 17 ­saintis lain menerima sijil anugerah yang disampaikan Najib.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Ewon Ebin dan Presiden ASM Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali.

Abd Latif adalah saintis FRIM kelima yang menerima pengiktirafan sebagai felo.

Sebelum ini, bekas KP FRIM pertama, Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor, bekas KP FRIM yang kedua, Datuk Dr Abd Razak Mohd Ali, bekas Timbalan KP FRIM, Dr Francis Ng dan Pengarah Bahagian Biodiversiti FRIM, Dr Saw Leng Guan turut menerima anugerah sama.

Beliau juga saintis FRIM pertama menerima Anugerah TRSM sebagai peng­iktirafan sumbangan dan usaha yang konsisten dalam menggerakkan penyelidikan perhutanan.

Abd Latif yang mengambil alih pucuk pimpinan FRIM sejak Mei 2008 adalah saintis perhutanan pertama dan satu-satunya menerima pengiktirafan Anugerah Saintis Muda Negara (1993), Outstanding Young Malaysian Award (1999) dan Eisenhower Fellowship dari Amerika Syarikat (1999).

Beliau juga penerima termuda 'IUFRO Scientific Achievement Award' ketika berusia 34 tahun pada 1995, 'Anugerah National Inventor Award (1997), Rotary Research Gold Medal Award (2012)' dan Anugerah Pencapaian Sains dan Teknologi (S&T) dari Malaysia Scientific Association (MSA) pada 2012.

Di bawah kepimpinannya, FRIM terus berkembang sebagai pusat rujukan berwibawa ter­utamanya dalam bidang penyelidikan hutan tropika dan keluaran hutan.

Bagi 2012, FRIM memenangi tujuh anugerah antarabangsa, sembilan anugerah kebangsaan dan 12 Malaysia Book of Records.

Terkini FRIM meraih Anugerah Inovasi Negara 2013 (Kategori Produk) dan Anugerah Harta Intelek Negara (AHIN) 2014 (Kategori Paten) untuk sistem rawatan kayu melalui Pengeringan Suhu Tinggi (HTD).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 5:00 AM