Kuala Lumpur: Akademi Sains Malaysia (ASM) digesa memanfaatkan sepenuhnya peruntukan yang disalurkan menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam Bajet 2015 untuk melakukan kajian yang memberi manfaat kepada rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, antaranya ialah Kajian Rangka Kerja Sains Mega yang memberi tumpuan kepada model yang mampan bagi mengubah landskap sains, teknologi dan inovasi (STI) dalam tempoh 2010 hingga 2050.

“Saya difahamkan Sains Mega 3.0 merangkumi lima sektor tambahan membabitkan industri plastik dan komposit, pelancongan, kreatif, automotif dan perabot.

“Semua ini sektor yang penting di Malaysia yang perlu dipupuk dan dibangunkan supaya dapat memberi manfaat maksimum,” katanya ketika berucap di Majlis Penganugerahan Felo dan pengumuman Saintis Penyelidikan Terbaik 2014, di sini, semalam.

Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Ewon Ebin dan Presiden Akademi Sains Malaysia Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali.

Sempena majlis itu, Perdana Menteri dianugerahkan Felo Kehormat ASM 2014 sebagai penghargaan atas sokongan padu serta sumbangan besar diberikan terhadap bidang sains dan teknologi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Disember 2014 @ 8:17 AM