Zurina Hassan yang berjaya mendapat pengiktirafan antarabangsa Georg Forster daripada Yayasan Alexander Von Humbolt, Jerman.
Zurina Hassan yang berjaya mendapat pengiktirafan antarabangsa Georg Forster daripada Yayasan Alexander Von Humbolt, Jerman.
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: "Saya berhasrat untuk meluaskan lagi skop bidang kajian ketum ini dan tidak hanya kepada bidang ketagihan dadah saja, malah kepada penyakit neurodegeneratif."

Itu harapan pensyarah dalam bidang farmakologi Prof Madya Dr Zurina Hassan yang berjaya mendapat pengiktirafan antarabangsa Georg Forster daripada Yayasan Alexander Von Humbolt, Jerman.

Anugerah itu diterima pada 4 Ogos lalu berdasarkan kajiannya terhadap ketum dan potensinya.

Beliau yang juga penyelidik daripada Pusat Penyelidikan Dadah Universiti Sains Malaysia (USM) turut diberikan dana berjumlah kira-kira RM294,000 bagi menyambung penyelidikannya di Jerman.

Zurina berkata, pengiktirafan itu sebenarnya adalah satu bukti bahawa pengkaji tempatan juga mempunyai potensi yang sama dengan penyelidik barat dan ramai lagi penyelidik tempatan yang sudah menempa nama di pentas antarabangsa.

"Untuk kajian ketum, saya bercadang mengenalpasti dos yang selamat digunakan dan tidak memudaratkan yang boleh mengurangkan kesan gejala tarikan atau withdrawal effect kepada orang yang bergantung kepada dadah opioid dan methamphetamine.

"Selain kajian ketum, saya memang bercadang untuk meluaskan skop kajian bukan sahaja dalam bidang ketagihan dadah, malah penyakit neurodegeneratif.

"Antara penyakit neurodegeneratif ini adalah seperti penyakit Alzheimer dan dementia yang boleh menyebabkan masalah kognitif membabitkan memori dan pembelajaran," katanya.

Beliau bercadang mengkaji secara terperinci dalam patofisiologi penyakit ini dan mencari perubatan daripada sumber semula jadi sebagai penambah ingatan atau smart drug.

Ketika ditanya berhubung halangan utama sebagai pengkaji tempatan, Dr Zurina berkata, wujud persepsi yang sangat berat sebelah dalam kalangan penyelidik barat berhubung tanggapan terhadap Muslim dan wanita berhijab.

"Banyak pihak di negara barat sangat berat sebelah dan bersifat perkauman terutama daripada segi penerbitan jurnal di peringkat antarabangsa.

"Saya bersyukur kerana mempunyai kolaborasi yang sangat rapat dan memahami keadaan berkenaan bersama dibantu beberapa rakan kolaborasi di negara luar," katanya.

Dr Zurina berkata, cetusan idea untuk melakukan kajian mendalam terhadap ketum ini berlaku kerana pembabitannya bersama Program Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-Ubatan sekitar 10 tahun lalu.

"Insya-Allah saya akan terus giat berusaha untuk meluaskan lagi skop kajian termasuk bidang lain yang berkaitan.

"Pencapaian ini juga adalah bukti bahawa pengkaji tempatan mempunyai kepakaran yang sama dengan penyelidik barat dan saya berharap lebih ramai lagi penyelidik yang terus menempa nama di pentas dunia," katanya.

DANA penyelidikan dilihat perlu ditambah  supaya memberi ruang yang cukup kepada penyelidik muda untuk berjaya di pentas antarabangsa.
DANA penyelidikan dilihat perlu ditambah supaya memberi ruang yang cukup kepada penyelidik muda untuk berjaya di pentas antarabangsa.

Perbaiki ekosistem penyelidikan

Pencapaian mengagumkan ramai ahli akademik, pengkaji serta pemikir tempatan di pentas dunia membuktikan bahawa negara tidak pernah ketandusan cendekiawan.

Malah, untuk beberapa bidang tertentu, pemikir tempatan lebih cemerlang berbanding dengan ahli akademik di pentas dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Raduan Che Rose berkata, pengkaji tempatan sudah banyak menempa nama daripada bidang utama iaitu sains serta teknologi sehingga kepada bermacam disiplin ilmu lain.

"Semua mereka ini diiktiraf di pentas dunia atas kejayaan serta kajian yang terbukti lebih baik berbanding pengkaji daripada negara maju, sekali gus membuktikan anak tempatan berdiri sama tinggi serta duduk sama rendah dengan pemikir dunia.

"Bagaimanapun, satu aspek yang harus difikirkan adalah kerajaan perlu memperbaiki ekosistem penyelidikan di negara ini yang dilihat masih kurang mesra kepada penyelidik.

"Anak tempatan ini sudah membuktikan bahawa mereka berjaya di pentas dunia malah jika kita memiliki ekosistem penyelidikan yang baik, saya yakin kita dapat melahirkan lebih ramai tenaga pakar serta penyelidik bertaraf dunia," katanya.

Selain daripada penyediaan ekosistem penyelidikan, beliau berkata, geran atau dana penyelidikan juga perlu ditambah daripada semasa ke semasa supaya memberi ruang yang cukup kepada penyelidik muda untuk berjaya di pentas antarabangsa.

"Kita masih menggunakan formula satu peratus daripada jumlah Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) akan diberikan untuk geran penyelidikan sedangkan peratusan itu perlu ditambah mengikut keperluan.

"Jika kita lihat beberapa negara lain, mereka sudah meningkatkan kepada jumlah empat peratus daripada KDNK semasa dan langkah sama perlu dibuat untuk memberi ruang serta peluang yang lebih banyak kepada penyelidik tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 7:00 AM