PROF Asma (tengah) bersama saintis muda yang terpilih.
PROF Asma (tengah) bersama saintis muda yang terpilih.
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Kuala Lumpur: “Peluang ini akan saya gunakan sebaik mungkin untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran serta membina rangkaian dengan saintis terkemuka antarabangsa,” kata Pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Amirah Abd Latif, 30, di sini, semalam.

Beliau antara sembilan saintis muda tempatan yang terpilih mengikuti tiga program pertukaran antarabangsa di tiga pusat kecemerlangan dan institut terkemuka dalam sains, teknologi dan inovasi (STI).

Tiga program itu adalah Mesyuarat Nobel Laureate di Lindau, Jerman, Program Musim Panas Pusat Penyelidikan Nuklear Eropah (CERN) di Geneva, Switzerland dan Program Musim Panas Saintis Muda Institut Analisis Sistem Gunaan Antarabangsa (IIASA) di Vienna, Austria.

Amirah dari Selangor yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang fizik berkata, beliau pernah dipilih sebagai delegasi untuk persidangan antarabangsa berkaitan sains termasuk di Itali.

Katanya, ketika ini, beliau sedang menjalankan kajian berkaitan laser gentian optik dan berharap hasil pertemuan bersama saintis lain dari seluruh dunia melalui penyertaan dalam program itu akan dapat berkongsi pengalaman dan pengetahuan lebih luas.

Bagi pelajar PhD dalam bidang Kejuruteraan Alam Sekitar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Tan Sie Ting, 27, beliau teruja mengikuti program IIASA itu.

“Harapan saya melalui program IIASA kami mendalami penyelidikan yang dapat dipraktikkan di negara ini,” katanya selepas diperkenalkan Naib Presiden ASM Prof Datuk Asma Ismail semalam.

Selain Amirah, empat saintis bagi program di Lindau Pensyarah di Jabatan Pharmalogi Universiti Kebangsaan Malaysa (UKM) Dr Chin Kok Yong, 29, Liew Peng Yen, 26, penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan Kimia, UTM, Dr Haslina Ahmad dari UPM dan Dr Onn Chern Ein (Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM) USM.

Tiga peserta CERN iaitu, Nur Zulaiha Jomhari, 24, dari Universiti Malaya; Muhammad Khairul Adib Muhammad Yusof, 21, (UPM) dan Wong Wei Wen, 22, (Universiti Multimedia). Peserta IIASA pula adalah Tan Sie Ting, 27, dari UTM.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2015 @ 5:26 AM