PEMAIN Penang FC Syamer Kutty (kiri) mengawal bola ketika bertemu  Perak FC  di Stadium Perak. FOTO Bernama
PEMAIN Penang FC Syamer Kutty (kiri) mengawal bola ketika bertemu Perak FC di Stadium Perak. FOTO Bernama
Amirul Fazli Zulkafli

Kuala Lumpur: Semangat juang tinggi mahu mendapatkan kemenangan sulung dalam saingan Liga Super musim ini menyaksikan pemain Penang FC terus meningkatkan usaha dan akhirnya terlaksana ketika bertemu Perak FC, semalam.

Pengendali Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli berkata, beliau dan anak didik sememangnya sangat menginginkan kemenangan pertama itu kerana akan meningkatkan lagi semangat pemain untuk meneruskan perjuangan dalam saingan liga.

Jelasnya, beliau sangat gembira apabila segala perancangan serta taktikal dirancang berjaya di bawa dengan sangat baik oleh pemainnya sekali gus mencetak dua gol penting dalam perlawanan itu.

"Apa yang berlaku adalah hasil keinginan dan kenyakinan pemain. Walaupun kami gagal menang empat perlawanan dan tewas aksi Piala FA, namun pemain masih bergerak sebagai satu keluarga serta bermotivasi untuk menang malam ini.

"Inilah yang berlaku apabila pemain ada keinginan dan keyakinan sesama sendiri. Kami berjaya dapatkan tiga mata dan ini satu permulaan yang baik untuk menghadapi perlawanan akan datang," katanya.

Untuk rekod, dua gol itu setakat ini adalah paling banyak dijaringkan oleh anak buah Akmal Rizal dalam Liga Malaysia.

Dalam perlawanan sebelum ini, Harimau Kumbang seakan-akan begitu sukar meledak jaringan meskipun deretan peluang terhidang.

Terdahulu, Penang FC peroleh kemenangan pertama selepas menewaskan Perak FC 2-0 di Stadium Perak, Ipoh, semalam selepas hanya merekodkan tiga seri dan satu kekalahan dalam empat aksi liga sebelum ini.

Skuad Harimau Kumbang kini berada di kedudukan ketujuh liga, berkongsi enam mata bersama Kedah Darul Aman (KDA) dan Kuching City yang menghuni kedudukan kelima dan keenam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 6:25 PM