Mohd Daynail Haikal Alias diberi rawatan di Hospital Kemaman selepas termakan biskut beracun - FOTO IHSAN Alias Saras
Mohd Daynail Haikal Alias diberi rawatan di Hospital Kemaman selepas termakan biskut beracun - FOTO IHSAN Alias Saras
Rosli Ilham


Chukai : Seorang remaja dilaporkan pengsan selepas termakan biskut yang dicampur racun di sebuah kebun pisang, dekat Kampung Air Puteh, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 petang, mangsa, Mohd Daynail Haikal Alias, 13 tahun terpaksa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Air Puteh sebelum dirujuk ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

Bapa mangsa, Alias Saras, 57, berkata dia dimaklumkan anaknya Mohd Daynail juga anak keempat daripada lima beradik itu termakan biskut beracun kira-kira jam 2 petang.

"Isteri saya, Roslina Ahmad, 52, menghubungi saya memaklumkan anak pengsan selepas termakan makanan beracun itu

"Mujur seorang bapa kepada rakan anak segera mengejarkan Mohd Daynail Haikal ke Klinik Kesihatan berhampiran untuk rawatan lanjut. Syukur anak semakin pulih dan saya berharap dia cepat sembuh dan dibenarkan keluar daripada hospital," katanya.

Alias berkata, sebelum kejadian berlaku, anaknya itu bersama seorang rakan anaknya itu dalam perjalanan untuk pergi memancing.

"Mungkin ketika melalui sebuah kebun pisang dan kelapa yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumah, anak saya termakan makanan yang dicampur racun itu.

"Makanan beracun terbabit mungkin tergantung di situ di atas sebatang kayu bagi tujuan untuk menghalau kera dan monyet di kebun itu," katanya.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan berhubung dengan kejadian itu, kira-kira jam 4 petang tadi.

Menurutnya, pihaknya sedang menjalankan siasatan dan kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 6:34 PM