AISYAH pamer prestasi memberangsangkan di Belanda.
AISYAH pamer prestasi memberangsangkan di Belanda.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pelumba berbasikal lebuh raya wanita negara, Nur Aisyah Mohamad Zubir dilihat sudah bersedia untuk tampil kali pertama di temasya Sukan Olimpik Paris 2024 yang bakal membuka tirainya 26 Julai ini.

Ia berdasarkan kepada pemerhatian jurulatihnya, Amir Mustafa Rusli selepas anak didiknya itu mampu memberi cabaran dalam beberapa perlumbaan di Eropah yang disertainya untuk persiapan ke temasya sukan terbesar dunia itu.

Jelas Amir, Aisyah mampu menjejakkan kaki ke podium biarpun ramai menganggap pelumba Asia sukar untuk memberikan cabaran apabila beraksi di kejohanan di Eropah.

Aisyah sebelum ini dilaporkan mengalami kemalangan kecil pada 12 Jun lalu ketika sesi latihan di Belgium namun kini dia sudah pulih sepenuhnya.

"Bagi saya, prestasinya sekarang berada pada tahap terbaik apabila dia mampu bersaing dengan pelumba Eropah dan berada di podium.

"Biasanya orang Asia berdepan kesukaran apabila datang berlumba di sini," katanya.

Antara perlumbaan paling menunjukkan potensi Aisyah adalah ketika menamatkan satu perlumbaan di Belgium di kedudukan keempat.

Pelumba berusia 27 tahun itu turut menunjukkan prestasi memberangsangkan ketika perlumbaan di Belanda apabila menduduki tempat kedua.

"Perlumbaan di sini penting untuk dia menyesuaikan diri. Bagaimanapun, perlumbaan paling mencabar untuknya adalah di Belgium apabila ramai pelumba profesional turut serta, tetapi dia berjaya menamatkan saingan di tempat keempat," kata Amir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 6:15 PM