TUAN Nor Shahida menyuapkan minuman kepada ibunya.
TUAN Nor Shahida menyuapkan minuman kepada ibunya.
Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: “Saya sanggup buat apa saja asalkan ibu pulih seperti sedia kala,” kata Tuan Nor Shahida Afikah Tuan Ahmad, 19, anak kedua Esah Jusoh, 49, yang kini menderita barah pankreas tahap empat.

Tuan Nor Shahida yang juga pelajar semester dua Diploma Logistik di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang itu menangguhkan pengajian demi menjaga ibunya sejak Oktober tahun lalu.

“Tidak mengapa, saya boleh tangguh pengajian sehingga ibu sihat. Saya anak perempuan sulung dalam keluarga, abang (Tuan Mohd Shafiq, 22) masih mengikuti latihan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL).

“Dua lagi adik (Tuan Muhd Shakhir, 16, dan Tuan Nor Shakirah, 9) bersekolah, saya berasa bertanggungjawab memikul amanah ini.

“Saya perlu lupakan seketika niat sambung belajar. Walaupun rakan lain belajar di semester dua, tetapi saya tidak kecewa kerana pengorbanan ini demi ibu,” katanya yang tinggal di rumah sepupu di Kampung Raja Baram, Chendering, dekat sini.

Menurutnya, dia dan ibunya menumpang di situ bagi memudahkan ahli keluarga yang berdekatan membantunya apabila perlu.

“Kami tinggal di sini kerana ayah, Tuan Ahmad Tuan Abdullah, 59, juga tidak lagi bekerja dan kurang sihat,” katanya.

Sementara itu, Esah berkata, walaupun terlantar, dia masih boleh berjalan ke tandas dengan bantuan kerana mengalami sakit belakang yang serius kesan penyakit itu.

“Saya terharu dengan pengorbanan Nor Shahida yang sanggup tangguh pengajiannya. Saya mahu kembali sihat supaya dapat jual nasi lemak untuk membantu keluarga dan menguruskan anak,” katanya.

Menurutnya, sebelum disahkan menghidap barah pankreas dia kerap sakit belakang pada Oktober tahun lalu dan menjalani pembedahan bagi membuang hempedu, Januari lalu.

“Saya bercadang menjalani satu lagi pembedahan di pusat rawatan swasta, tetapi memerlukan kos hampir RM40,000 dan belum mencukupi.

“Permohonan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dibuat dan belum mendapat kelulusan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2017 @ 9:19 AM