Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berucap ketika merasmikan Majlis Penutup Program Jelajah Karnival KPDN Zon Tengah dan Festival Pengguna Tahun 2024 Peringkat Zon Timur di Stadium Indera Mulia hari ini. FOTO BERNAMA
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berucap ketika merasmikan Majlis Penutup Program Jelajah Karnival KPDN Zon Tengah dan Festival Pengguna Tahun 2024 Peringkat Zon Timur di Stadium Indera Mulia hari ini. FOTO BERNAMA
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan bertemu dengan lima syarikat stesen minyak, Khamis ini berhubung pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) membabitkan isu pengeluaran 'fleet card' supaya pengeluarannya lebih cepat.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata pihaknya mengakui kelewatan pengeluaran 'fleet card' yang berlaku adalah di peringkat lima syarikat stesen minyak khususnya membabitkan kad jenis pasca bayar (postpaid) berbanding prabayar (prepaid) memandangkan pengeluaran secara pascabayar memerlukan penelitian dokumen sokongan.

Katanya, lima syarikat stesen minyak itu akan membentang dan mengemukakan mekanisme bagi menyegerakan pengeluaran kad terbabit kepada 33 jenis pengangkutan darat awam dan barang.

"Kalau prabayar, tiada isu besar untuk keluarkan segera 'fleet card' namun isu timbul sekiranya syarikat memohon secara pascabayar kerana pastinya syarikat stesen minyak perlu dokumen lampiran, status kewangan dan sebagainya. Jadi itu akan mengambil masa untuk pengeluaran.

"Di peringkat kelulusan SKDS oleh KPDN, ia mudah memandangkan kita sudah integrasikan dengan sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Isunya selepas mendapat kelulusan berkenaan, permohonan untuk 'fleet card' juga perlu dibuat," katanya kepada pemberita dalam Majlis Perasmian Penutup Jelajah Karnival KPDN Zon Tengah dan Festival Pengguna Tahun 2024 di Stadium Indera Mulia, di sini hari ini.

Menurutnya, setakat semalam (13 Julai), sebanyak 248,887 kenderaan mewakili 88,029 syarikat pengangkutan darat barangan di negara ini sudah diluluskan subsidi diesel di bawah pelaksanaan SKDS.

Bagaimanapun katanya, setakat 8 Julai lalu, sebanyak 165,897 'fleet card' sudah dikeluarkan oleh lima syarikat stesen minyak tempatan terbabit.

Menurutnya, sudah ada penambahbaikan dari segi tempoh pengeluaran 'fleet card' sebelum ini apabila tempoh lebih sebulan yang diperlukan sudah dipendekkan kepada dalam tempoh 10 hari.

"Sebelum ini ia mengambil masa tetapi kini ada syarikat minyak yang sudah boleh mengeluarkan ia kurang dari 10 hari. Namun, kita masih mahukan supaya mekanisme pengeluaran ini dipercepatkan.

"Semasa perbincangan awal pada awal tahun, komitmen yang kita dapat daripada mereka adalah (pengeluaran dalam tempoh) empat ke enam minggu, kemudian kita sudah pendekkan kepada kurang 10 hari.

"Cuma dalam aspek pascabayar itu, mereka perlu juga mengambil kira status kewangan, tetapi pada masa kini alternatifnya adalah menggunakan kad tunai (cash card)," katanya.

Menurutnya lagi, kelewatan pengeluaran fleet card oleh stesen minyak juga mungkin dipengaruhi oleh sikap masyarakat yang gemar mengambil pendekatan tunggu dan lihat walaupun pelaksanaan SKDS sudah diumumkan lebih awal iaitu pada Mac lalu iaitu tiga bulan sebelum penyasaran subsidi dilaksanakan pada 10 Jun lalu.

"Sewaktu penyasaran diumumkan barulah ramai yang berpusu-pusu memohon. Jadi bila 'volume' (bilangan permintaan) begitu tinggi maka berlakulah sedikit 'backlock' (tunggakan).

"Dari segi stok 'fleet card' sebenarnya sebelum penyasaran subsidi bermula kita sudah mendapat komitmen keseluruhan syarikat minyak yang terbabit sudah menyediakan 1 juta 'fleet card'.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 6:04 PM