KEADAAN banjir di  di Felda Gelanggi 1.
KEADAAN banjir di di Felda Gelanggi 1.

Jerantut: Seorang bayi lelaki berusia 13 hari dan ibunya antara 58 mangsa dari FELDA Kota Gelanggi 1, di sini, dipindahkan ke Dewan Semai Bakti di tanah rancangan berkenaan berikutan kawasan kediaman mereka dinaiki air malam kelmarin.

Ibu bayi terbabit, Rohani Had, 34, berkata, dalam keadaan berpantang, dia terpaksa meredah air 0.5 meter bersama tiga anaknya ke tempat selamat sebelum dipindahkan ke dewan itu.

“Manakala, bayi saya dibawa oleh suami selepas paras air Sungai Siam berdekatan rumah kami semakin naik akibat hujan lebat yang berlarutan sejak petang semalam (kelmarin).

“Siren amaran berbunyi kira-kira jam 11 malam membuatkan kami berdebar kerana perlu berpindah, jika boleh saya tidak mahu berpantang di dewan yang tidak selesa,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Katanya, bukan kerana tidak diberikan kemudahan tetapi dia berasa agak kekok bila berpantang di tempat terbuka seperti di dewan itu.

“Saya harap ia sementara dan kami semua boleh pulang pulang ke rumah apabila keadaan pulih,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Gelanggi 1 Abdul Rahman Abd Ghani berkata, operasi memindahkan 58 mangsa daripada sembilan keluarga terbabit yang tinggal berdekatan sungai itu bermula jam 11.30 malam kelmarin dan tamat pada jam 2.35 pagi semalam.

“Pemindahan berjalan lancar dan semua penduduk mengikut arahan pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Jerantut Datuk Nor Azmaliza Ku Lah berkata, penduduk dan JKKK memberikan kerjasama memudahkan segala tindakan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2016 @ 11:46 AM